Premis bazar Ramadan kotor akan dihenti operasi serta merta – Ku Nan

0
34



KUALA LUMPUR: Premis bazar Ramadan di sekitar ibu kota yang menjual makanan kotor dan tercemar bakal berdepan tindakan dihentikan operasi serta merta, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata majikan yang gagal memastikan pekerja asing yang diambil bekerja membuat saringan kesihatan juga akan berdepan tindakan yang sama menerusi operasi yang dijalankan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Sebelum ini saya sudah beri amaran kepada pemilik premis agar menjaga kebersihan premis dan makanan yang dijual kerana ia membabitkan kesihatan pembeli,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Nur Ramadan 2017 peringkat Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung isu kebersihan Bazar Ramadan Kampung Baru yang dikategorikan sebagai jualan makanan paling tercemar berdasarkan rekod DBKL pada tahun lalu.

Mengenai Program Nur Ramadan,Tengku Adnan berkata seramai 9,000 golongan asnaf dari 13 kawasan parlimen di sekitar Wilayah Persekutuan menerima sumbangan bernilai RM1.35 juta, manakala masjid dan surau yang terlibat juga akan menerima sumbangan RM30,000 untuk menaiktaraf kemudahan sedia ada.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here