Presiden Agrobank Wan Mohd Fadzmi tinggalkan perkhidmatan

0
44

KUALA LUMPUR: Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman tidak meneruskan perkhidmatan sebagai Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agrobank berkuat kuasa 31 Ogos, 2017, selepas enam tahun menerajui bank tersebut.

Agrobank dalam satu kenyataan berkata Ketua Pegawai Kewangan bank itu, Masaat Awadz, akan menanggung tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif sementara lembaga memulakan usaha mencari pengganti Wan Mohd Fadzmi.

Sebelum pelantikan beliau sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Wan Mohd Fadzmi memiliki pengalaman luas dalam industri perbankan dan pernah bekerja di hab kewangan utama seperti di London, New York dan Hong Kong selama lebih 15 tahun.

Di Agrobank, beliau memulakan program transformasi lima tahun yang dibangunkan untuk menumpukan kepada memperkasakan perniagaan teras dan asas bank itu dalam memajukan sektor pertanian terutamanya untuk golongan yang tidak dan kurang mendapat liputan.

“Hasil daripada transformasi itu, Agrobank telah berjaya mencatatkan pencapaian sangat membanggakan, antara lainnya, menambah baik proses dan prosedur bagi meningkatkan kecekapan, mengurangkan pembiayaan tidak berbayar kepada satu digit dan membangunkan lebih banyak produk serta pembiayaan yang inovatif dan relevan terutamanya untuk komuniti pertanian,” kata bank itu. 

Tahun lepas, Agrobank mencatatkan rekod pertumbuhan yang sangat memberangsangkan iaitu sebanyak 16.9 peratus dengan jumlah nilai pembiayaan mencecah RM8.7 bilion meskipun keadaan ekonomi global yang suram.

“Prestasi membanggakan itu juga merupakan pencapaian terbaik bagi Agrobank sepanjang penubuhannya,” kata bank itu.

Di bawah kepimpinan Wan Mohd Fadzmi, Agrobank telah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa terutamanya dalam bidang rangkuman kewangan dan pembangunan perbankan manakala Wan Mohd Fadzmi juga menerima dua pengiktirafan iaitu Anugerah CEO terbaik sebanyak dua kali – pada 2016 di majlis Anugerah Kewangan Islam Global dan pada 2017 di Anugerah Kesatuan Institusi Pembangunan Kewangan Asia Pasifik.

– BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here