Presiden Zimbabwe jamin pilihan raya bakal berlangsung aman, adil

0
19
Advertisement

MAPUTO: Pilihan raya umum Zimbabwe yang dijangka diadakan akhir tahun ini, akan berlangsung merangkumi semua prinsip demokrasi serta adil, sebagaimana ditetapkan Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC), kata Presiden, Emmerson Mnangagwa.

Mnangagwa berkata pilihan raya Zimbabwe, dijadual diadakan dalam tempoh empat hingga lima bulan akan datang, bukan sahaja berlangsung dengan aman malah tidak dipertikaikan.

“Pilihan raya dijalankan mengikut piawaian ditetapkan SADC. Zimbabwe akan pastikan pilihan raya selari dengan amalan prinsip-prinsip demokrasi,” katanya pada majlis jamuan tengah hari anjuran Presiden Mozambique, Filipe Nyusi sempena lawatan sehari ke negara itu. 

Beliau berkata, Zimbabwe akan melaksanakan pilihan raya yang bebas, boleh dipercayai dan tidak akan dipertikaikan sekaligus memastikan negara itu  dapat menyertai dunia sebagai negara  demokratik yang sah.

Beliau turut memberi amaran kepada menteri kedua-dua negara, supaya menghapuskan kerenah birokrasi yang sebelum ini, menyaksikan banyak program dua hala terbengkalai atau mengambil masa terlalu lama.

“Kita mempunyai peluang untuk berkongsi visi dan bertukar nota. Presiden Nyusi dan saya sudah berjanji bahawa kami tidak lagi mahu segala projek digagalkan oleh menteri lembab, hanya pandai bercakap tanpa mengotakan apa yang dikata.

“Falsafah lama perlu dihapuskan. Sekarang kita menuntut perlaksanaan dan tidak akan bertolak ansur lagi terhadap menteri yang gagal melaksanakan misi diberikan,” katanya.

Lawatan Mnangagwa ke Mozambique merupakan sebahagian daripada siri lawatan serantaunya sejak mengambil alih pentadbiran, daripada bekas Presiden Robert Mugabe, yang meletak jawatan pada November lepas berikutan rampasan kuasa tentera.

Siri lawatan itu bermula pada Disember tahun lepas dengan mengunjungi Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma disusuli Angola dan Namibia.

Beliau juga dijangka melawat Zambia lewat minggu ini.

— BERNAMA-NNN-NEW ZIANA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here