Prestasi Ringgit lebih baik selepas keyakinan pelabur pulih – Zeti

0
189
Advertisement

KUALA LUMPUR: Prestasi ringgit akan menjadi lebih baik selepas keyakinan pelabur terhadap ekonomi mahu pun negara ini kembali pulih, kata Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Ketika menegaskan perkara itu, bekas Gabenor Bank Negara itu berkata kerajaan baharu juga sedang berusaha gigih bagi menangani semua isu yang mencetuskan rasa bimbang.

“Saya yakin asas-asasnya masih ada. Apabila rejim fiskal dan keadaannya pulih kembali, ini akan menyumbang ke arah peningkatan penarafan (Malaysia).

“Ini disebabkan semua kategori lain – sistem kewangan, keadaan makroekonomi, inflasi dan kestabilan kewangan sudah sedia ada dan sepatutnya mendapat penarafan lebih tinggi.

“Namun, disebabkan isu fiskal ini, saya faham yang kita diberi penarafan A walaupun kita (Malaysia) berpotensi untuk mendapat AA,” katanya yang juga antara lima anggota Majlis Penasihat Kerajaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pengurus dana di sini, hari ini.

Menurut Zeti, kerajaan juga mahu memulihkan kedudukan fiskal baik dari sudut perolehan dan perbelanjaan agar dapat melaksanakan langkah seperti meneliti semula keutamaan projek-projek, usaha bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pembaziran.

Mengulas pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang merupakan sebahagian daripada manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH), beliau menegaskan usaha itu akan dilaksanakan mengikut peraturan dan proses sedia ada.

“Tun Dr Mahathir Mohamad sentiasa menyatakan bahawa undang-undang dan peraturan itu wujud dalam negara ini. Kita tidak akan bertindak bertentangan daripada sebarang peraturan dan proses dalam usaha menjalankan perubahan sewajarnya.

“Sehubungan itu, apa yang kita lakukan dalam tempoh 100 hari ini adalah mengumumkan tindakan yang akan diambil. Proses seterusnya samada ini perlu dibawa bagi mendapatkan kelulusan Parlimen, akan dibuat selepas itu,” katanya.

Malah, kata Zeti, sebarang keputusan yang diambil dengan semua aspek termasuk strategi, proses, teknologi dan sistemnya akan turut diumumkan kepada orang ramai.

“Semua langkah yang diambil adalah secara menyeluruh dan tidak dilakukan dengan menumpukan perkara tertentu sahaja. Jika tidak, akan timbul isu lain yang perlu ditangani juga,” katanya.

Selain itu, kira-kira 180 pengurus dana tempatan dan asing menghadiri mesyuarat yang berlangsung selama dua jam.

“Hasilnya kelak adalah amat positif. Mesyuarat ini amat membantu kerana mereka yang terlibat dalam Majlis (Penasihat Kerajaan) juga sudah lama berada dalam bidang ekonomi ini sebelumnya. Para pengurus dana ini juga telah diberi jaminan mengenainya,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here