Program menarik MetroTV

0
52



Sesuai dengan peredaran teknologi dan budaya digital di negara ini, Harian Metro (HM) dan Media Prima Labs (MPLabs ) berganding bahu melancarkan MetroTV yang turut menyediakan video Over the Top dan Video on Demand bagi memenuhi cita rasa pengguna Internet, baru-baru ini.

Menariknya, MetroTV satu-satunya aplikasi yang menawarkan siaran langsung berita dan program menarik setiap hari bermula jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

Menerusi aplikasi itu, pengguna boleh menyaksikan tugas harian wartawan HM iaitu Journalist At Work serta beberapa siaran menarik di bawah segmen berita Ohsem!

Segmen berita menawarkan Kalender Jenayah, [email protected], Kafe Ahad, Eksklusif, HMviral, Suara Maya dan video kiriman pembaca, UGC.

Bagi segmen Ohsem! pula memaparkan program realiti agensi penguat kuasa Ten4, video aksi kucing kiriman pembaca MeowTime dan SemiDocu yang memuatkan berita dalam bentuk dokumentari.

Di bawah segmen ini juga, program hiburan #SudyrTanya yang disiarkan secara langsung memaparkan wartawan HM, Sudirman MohdTahir menemu bual selebriti tanah air sambil berinteraksi dengan penonton.

Program menarik lain termasuk #EpulCuba, Telatah, Jom Masak!, #bolatime Plus dan al-Kalam.

Selain itu, pengguna aplikasi MetroTV boleh meluangkan masa menonton Borak Lokasi Xtra yang memaparkan suasana di sebalik tabir filem, berita teknologi Reboot dan mengikuti kisah artis serta gosip panas menerusi program BLING!.

Sementara itu, majlis pelancaran MetroTV, baru-baru ini dimeriahkan dengan persembahan istimewa beberapa penyanyi popular tanah air seperti Aiman Tino, Khai Bahar, Wany Hasrita, Tajul, Azharina dan Salma 3 Juara.

Turut membuat penampilan khas antaranya Amyra Rosli, Amar Baharin, Fikry Lawak Solo, Aizat Amdan dan Izzue Islam.

Acara yang membuka tirai jam 9 malam itu bermula dengan persembahan penuh bertenaga oleh Azharina yang menyampaikan lagu Cheap Thrills.

Bersiaran secara langsung dari laman Facebook HM, penyanyi terkenal ditunggu-tunggu ramai, Khai Bahar membuat persembahan menerusi lagu popularnya, Bayang.

Ia diikuti Wany Hasrita yang mendendangkan Menahan Rindu dan seterusnya, penyanyi itu bergandingan dengan Tajul untuk berduet lagu Sedalam Dalam Rindu.

Selain itu, Aiman Tino turut memberi persembahan hebat menerusi lagu hit Permata Cinta sebelum Salma mempamerkan vokal bertenaga menerusi lagu I Surrender nyanyian asal Celine Dion.

Aplikasi MetroTV boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan Apple Store.

Hadir sama dalam majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press Berhad, Datuk Jalil Hamid, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prime Digital, Rafiq Razali.

SHARE
Previous articleHairul 'tambah otot'
Next articleKonsert RM700,000

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here