Program Transformasi Negara rapatkan jurang menuju sasaran pendapatan tinggi – PM

0
79

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Program Transformasi Negara (NTP) yang dilaksanakan selama ini mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya merapatkan jurang menuju sasaran pendapatan tinggi daripada 33 peratus kepada 18 peratus antara tahun 2010 hingga 2016.

Perdana Menteri berkata NTP telah memainkan peranan besar dalam membawa negara keluar daripada perangkap pendapatan pertengahan seperti yang dialami pada tahun 2009.

“Pada akhir tahun 2016, Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita telah meningkat kepada US$10,010 berbanding sasaran pendapatan tinggi yang dianggarkan pada US$12,272 tahun lepas menurut anggaran Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) ,” katanya dalam perutusan Laporan Tahunan 2016 Program Transformasi Negara (NTP) yang dikeluarkan hari ini.

Anggaran PEMANDU itu adalah berdasarkan pengiraan PNK perkapita Bank Dunia menggunakan kaedah Atlas dengan menggunakan maklumat awam yang tersedia mana masa ini.

Najib berkata NTP juga turut membantu mewujudkan lebih 2.26 juta pekerjaan dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini.

Mengenai pencapaian lain yang diraih negara, Najib berkata pembangunan sebuah sistem pengangkutan bertaraf dunia pastinya antara janji terbesar yang telah dikotakan semasa NTP dilancarkan pada 2010.

“Pada Disember 2016 kita sama-sama menyaksikan impian saya terhadap sistem pengangkutan awam yang cekap, dipercayai dan selamat untuk rakyat, semakin hampir menjadi kenyataan dengan pelancaran projek Transit Aliran Massa (MRT) di Lembah Klang selain pengembangan kapasiti dan penaiktarafan infrastruktur rangkaian pengangkutan awam sedia ada,” katanya.

Sementara itu , Najib berkata usaha untuk mempelbagaikan sumber hasil Kerajaan telah berjaya mengurangkan sumbangan daripada hasil berkaitan minyak dan gas daripada 41.3 peratus pada tahun 2009 kepada 14.7 peratus pada tahun 2016.

Menyentuh mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi yang diperkenalkan, Najib berkata, kerajaan telah mengutip sejumlah RM38.5 bilion pada tahun 2016 sekali gus mengimbangi kekurangan hasil kerajaan sebanyak RM30 bilion disebabkan kejatuhan harga minyak hampir 50 peratus.

Defisit fiskal kerajaan yang terus berkurangan kepada 3.1 peratus sekali gus memastikan negara berada di landasan tepat untuk mencapai bajet seimbang menjelang 2020, katanya.

Beliau menjelaskan, ini membolehkan kerajaan memperkenalkan sistem subsidi lebih cekap seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang telah meringankan beban 7.28 juta isi rumah pada tahun 2016.

Mengenai pencapaian berkaitan menambah baik kehidupan rakyat terutama di luar bandar, Najib berkata kerajaan telah menyiapkan pembinaan 6,041 km jalan raya di kawasan luar bandar berbanding 750 km jalan raya di luar bandar yang dibina pada tahun pertama program NTP pada 2010.

Perdana Menteri turut berkongsi pencapaian lain termasuk pembinaan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di Johor yang merupakan hab bertaraf dunia bagi aktiviti minyak dan gas hiliran yang menarik pelaburan besar pihak swasta serta mampu memacu keupayaan minyak dan gas negara untuk bergerak lebih tinggi dalam rantaian nilai di persada global.

Secara keseluruhannya, Najib menarik perhatian bahawa Malaysia telah muncul sebagai model bagi negara-negara lain yang ingin melaksanakan transformasi.

Pencapaian ini, katanya, membuktikan bahawa model transformasi Malaysia merupakan model yang benar-benar berjaya dan menawarkan pengalaman serta iktibar berharga yang boleh dimanfaatkan oleh negara lain secara bersama.

“Selayaknyalah kita berbangga dengan segala pencapaian ini, namun kerja kita sebenarnya masih jauh daripada selesai.

“Kerajaan tidak akan berdiam diri sehingga kita berjaya menjulang matlamat berpendapatan tinggi, kemampanan yang bertambah baik serta keinklusifan yang meluas dalam ekonomi kita,” katanya.

Najib berkata perjalanan transformasi negara bukanlah senang namun beliau yakin rakyat akan bersama-sama menyaksikan kejayaan negara menjulang status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan yang setulusnya kepada perkhidmatan awam atas dedikasi yang dicurahkan mereka dalam memacu negara untuk mencapai aspirasi kerajaan.

“Saya yakin bahawa sepanjang tempoh enam tahun lepas, perkhidmatan awam telah membina kapasiti dan menerima guna proses yang diperlukan untuk meneruskan program NTP,” katanya.

Sudah tiba masanya bagi perkhidmatan awam untuk mengambil alih tanggungjawab NTP daripada PEMANDU yang sehingga tahap ini telah memantau dan mengurus pencapaian transformasi yang dilaksanakan oleh perkhidmatan awam.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here