Projek RTS hubungkan Johor ke Singapura akan diteruskan

0
192
Advertisement

KUALA LUMPUR: Projek Rapid Transit System (RTS) antara Bukit Chagar, Johor Bahru ke Woodlands, Singapura akan diteruskan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Dalam satu sidang media pada Jumaat, Loke berkata projek yang menelan belanja RM4 bilion itu akan dilaksanakan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan secara prinsipnya akan diteruskan.

“Projek ini akan menghubungkan Johor Bahru dan Singapura untuk mengurangkan kesesakan di Tambak Johor, dan secara prinsipnya kabinet telah bersetuju untuk meneruskan projek ini yang telah diumumkan pada tahun 2010.

“Kita akan teruskan (projek), namun mekanisme pembinaan akan dikaji semula bagi mempercepatkan proses… kita mempunyai kerjasama antara Prasarana dan Transit Aliran Massa Singapura (SMRT) yang sepatutnya ditandatangani 30 Jun.

“Memandangkan kita memerlukan masa untuk menilai dan kaji projek ini, kita akan minta supaya tempoh ini dilanjutkan supaya kita ada sedikit masa untuk menilai projek dan kita akan bawa ke kabinet hal ini,” katanya.

Projek tersebut yang akan beroperasi dari Bukit Chagar di Johor ke stesen Woodlands North di Singapura dijangka mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah apabila siap pada 2024.

Sementara itu Loke berkata perkhidmatan bas percuma, GoKL yang dilaksanakan beberapa tahun lalu di ibu kota masih diteruskan sehingga kini.

Bagaimanapun, Loke berkata perkhidmatan bas tersebut akan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan dengan mengambil kira faktor kewangan kerajaan dan manfaat kepada pengguna. 

“Sebanyak 36 bas percuma beroperasi setiap hari untuk membawa kira-kira 70,000 penumpang dengan anggaran kos RM12 juta setahun. Daripada 70,000 penumpang, 60 peratus daripadanya adalah warganegara manakala 40 peratus adalah pekerja asing dan pelancong,” katanya.

Mengulas mengenai manifesto Pakatan Harapan untuk melaksanakan pas pengangkutan perkhidmatan awam tanpa had bernilai RM100, Loke berkata pihaknya sedang meneliti cara terbaik bagi melaksanakan janji tersebut.

“Mekanisme telah dicadangkan kepada saya tetapi ada implikasi kewangan yang besar maka keputusan bagaimana dan bila boleh kita laksanakan ini saya perlu bawa ke kabinet untuk dibincangkan.

“Apa-apa dasar dan program yang memerlukan bajet kewangan yang besar akan dibawa ke kabinet dan setakat ini program ini masih dalam peringkat kajian dan kita akan membuat keputusan dalam masa terdekat,” katanya. 

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here