Projek Taman Teknologi Pertahanan dan Keselamatan Malaysia – MDSTP

Projek Taman Teknologi Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MDSTP). Projek MDSTP atau Malaysia Defence and Security Technology Park yang akan dimajukan dalam 3 fasa untuk tempoh 12 tahun ini akan dibangunkan di Sungkai, Perak. Projek MDSTP yang pertama di Asean ini akan menggunakan tapak seluas 485 hektar di bandar yang juga popular dengan Taman Rekreasi Air Panas (TRAP).

Taman Teknologi Pertahanan dan Keselamatan Malaysia

Gambar: Pelan Projek Taman Teknologi Pertahanan dan Keselamatan Malaysia

Projek yang akan bermula pada akhir tahun ini dijangka dapat menarik pelaburan yang berpotensi sehingga RM15 billion. Projek yang memakan belanja RM1.4 billion ini akan mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan baru untuk negara.

Pembangunan taman ini akan melibatkan enam sektor iaitu Vionik dan Aeroangkasa, Automotif, Maritim, Senjata, ICT serta pengguna biasa yang memberi sokongan kepada industri pertahanan. Fasa pertama yang akan dibangunkan nanti akan meliputi bangunan utama, pusat penyelidikan dan pembangunan, pusat komersial dan pembangunan universiti.

Projek MDSTP ini dimajukan secara usaha sama antara Kementerian Pertahanan dengan syarikat tempatan Masterplan Consulting Sdn Bhd. MDSTP akan menyediakan sebuah kawasan perindustrian bertaraf dunia yang khusus untuk penjanaan inovasi dan teknologi dalam bidang berkaitan pertahanan. Penubuhan MDSTP ini juga akan membolehkan negara ASEAN bekerjasama dalam mengeluarkan peralatan serta teknologi pertahanan sendiri di samping mengurangkan kebergantungan kepada negara luar.

Sehingga kini, terdapat 500 syarikat dari dalam dan luar negara yang menyatakan minat untuk melabur dalam projek MDSTP ini. 5 Syarikat yang akan memeterai memorandum persefahaman pertengahan bulan ini adalah The Association of Italian Companies on Aerospace, Defence and Security (RM4 billion),  Stratsec Net Sdn Bhd (RM30 juta), Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (RM200 juta), McAfee (M) Sdn Bhd (RM60 juta) dan Caibros International Sdn Bhd dengan China Green International (M) Sdn Bhd (RM20 juta)

Leave a Comment