Prospek bagi bank-bank Malaysia stabil – Moody's

0
57
Advertisement

KUALA LUMPUR: Moody’s Investors Service menyatakan prospek bagi sistem perbankan Malaysia adalah stabil (A3 stabil) dalam tempoh 12-18 bulan akan datang, disokong oleh keadaan makroekonomi yang kukuh dalam dan luar negara.

Naib Presiden dan Penganalisis Kanan Moody’s, Simon Chen, berkata dalam satu kenyataan hari ini, persekitaran itu memberi sokongan kepada bank-bank Malaysia di samping membantu menstabilkan kualiti aset dan keuntungan.

Dalam masa yang sama, katanya, pertumbuhan pinjaman lebih pantas dijangkakan, kekal pada kadar yang lebih perlahan daripada pengekalan keuntungan bank-bank, yang membawa kepada penampan modal yang lebih kukuh.

Rumusan Moody’s itu terkandung dalam laporannya yang baru dikeluarkan bagi bank-bank Malaysia bertajuk, “Robust Macro Conditions and Improving Capitalisation Support Stable Outlook,” dan dikarang oleh Chen.

Prospek stabil itu adalah berdasarkan kepada penilaian Moody’s terhadap enam pemacu, iaitu persekitaran operasi (stabil), kualiti aset (stabil), modal (bertambah baik), pembiayaan dan mudah tunai (stabil), keuntungan dan kecekapan (stabil) dan sokongan kerajaan (stabil).

Mengenai persekitaran operasi, Moody’s berkata meskipun keadaan makroekonomi yang terbukti kukuh, ketidaktentuan dasar memberi risiko dan mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia berkembang sebanyak 5.4 peratus pada 2018, dan pinjaman meningkat 6-7 peratus dalam tempoh yang sama.

Penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan meningkatkan penggunaan swasta dan memberi manfaat kepada perniagaan tempatan dalam tempoh terdekat ini.

Bagaimanapun, ketidakpastian mengenai perubahan dasar masa pada masa depan oleh kerajaan baharu akan mempengaruhi sentimen pelabur dan perniagaan sepanjang 2018.

Mengenai kualiti aset bank, Moody’s berkata ia dijangka kekal stabil dalam keadaan tekanan yang berkurangan dalam kalangan syarikat korporat yang bermasalah dan pertumbuhan perlahan paras hutang isi rumah.

Pembentukan pinjaman tidak berbayar baharu akan kekal perlahan dalam keadaan kenaikan sederhana kadar faedah, apabila keuntungan bertambah baik dan pertumbuhan pinjaman isi rumah berisiko berkurangan.

Bagi permodalan, paras akan meningkat, apabila penjanaan modal mengatasi pertumbuhan aset, dan terbukti mencukupi untuk mengimbangi pelarasan sekali berbanding nisbah modal bagi memenuhi standard MFRS 9.

Moody’s juga berkata pembiayaan dan mudah tunai bank-bank dijangka kekal stabil.

Nisbah pinjaman berbanding deposit bank, terutamanya, akan meningkat apabila pertumbuhan pinjaman melonjak, tetapi nisbah itu kekal di bawah 100 peratus.

Selain itu, bank-bank akan kekal berada dalam kedudukan selesa untuk memenuhi keperluan minimum di bawah peraturan mudah tunai dan pembiayaan Basel III.

Mengenai keuntungan, Moody’s berkata hasil yang bertambah baik — dirangsang oleh pertumbuhan pinjaman yang lebih pantas — akan menyokong profil keuntungan bank-bank.

Pertumbuhan pinjaman lebih pantas akan meningkatkan pendapatan pra-peruntukan, walaupun persaingan sengit dalam deposit akan mengehadkan peningkatan margin faedah bersih.

Kos kredit akan meningkat disebabkan oleh standard baharu MFRS 9, tetapi hanya sedikit, berikutan keadaan kredit yang terus rendah.

Sokongan kerajaan terhadap bank-bank semasa tempoh sukar dijangka berterusan.

Pembaharuan perundangan baru-baru ini tidak membayangkan sebarang peralihan dalam dasar kerajaan bagi resolusi bank-bank bermasalah selain pembubaran, dengan kurangnya undang-undang untuk memaksa pemiutang bank menanggung kos sebarang usaha menyelamatkan bank.

Moody’s memberi penarafan kepada 11 bank di Malaysia – lapan bank perdagangan konvensional, sebuah bank pelaburan, sebuah bank Islam dan sebuah institusi kewangan pembangunan milik kerajaan.

Bank-bank perdagangan yang diberi penarafan menyumbang kira-kira 85 peratus daripada jumlah pinjaman dan deposit dalam sistem perbankan Malaysia pada akhir 2017.

Moody’s juga mengekalkan prospek stabil bagi sistem perbankan Malaysia sejak 2010. — Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here