Prospek pelabuhan Malaysia kekal memberangsangkan – RAM Ratings

0
41

RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) menjangkakan prospek pelabuhan-pelabuhan Malaysia mengendalikan kontena dan kargo kekal memberangsangkan pada tahun ini sejajar dengan pemulihan ekonomi global secara berperingkat.

Dalam satu kenyataan, RAM Ratings berkata, pertumbuhan menyeluruh itu juga dijangka pada tahap satu angka berbanding tiga peratus pada 2016.

Ketua Bersama Infrastruktur dan Utiliti firma itu, Davinder Kaur Gill berkata prospek bagi pelabuhan-pelabuhan utama negara termasuk Westports Holdings Bhd, Northport (M) Bhd and Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd juga terus stabil susulan unjuran peningkatan ekonomi tempatan dan serantau.

“Bagaimanapun, kemudahan itu masih terdedah kepada kesan aliran semasa yang cenderung ke arah (dasar) perlindungan serta perubahan di peringkat pakatan perkapalan,” katanya.

Davinder berkata, jumlah kendalian muatan Malaysia juga kukuh sepanjang 2016, termasuk kontena yang merekodkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul 10 tahun sebanyak enam peratus manakala kargo sebanyak lima peratus.

Pada masa sama, katanya, Malaysia mengendalikan lebih 25 peratus kontena yang melintasi negara-negara ASEAN-5 (Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina) yang menyumbang tiga peratus daripada trafik global.

“Biarpun prospek bagi perdagangan serantau masih menggalakkan, pertumbuhan pelabuhan-pelabuhan Asia Tenggara bagi jangka panjang perlu dianalisis dalam konteks perkembangan ekonomi, kapasiti pelabuhan baharu rantau ini serta keperluan bagi pakatan perkapalan yang baharu dibentuk,” katanya.

Jelasnya, keperluan pembiayaan pelabuhan Malaysia dan serantau adalah besar jika rancangan pengembangan itu menjadi kenyataan tidak lama lagi.

“Bagaimanapun, kami menyasarkan usaha itu dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.

Atas alasan itu, katanya, keperluan pembiayaan domestik dalam tempoh lima tahun seterusnya, diunjur dalam lingkungan RM5 bilion berikutan perkembangan membabitkan Pelabuhan Kuantan, Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

“Anggaran itu berkemungkinan mencecah lebih RM250 bilion sekiranya projek berskala besar seperti Pelabuhan Klang ketiga di Pulau Carey dan Projek Melaka dimulakan,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here