'Protes, tarik diri jika perlu'

0
69
Advertisement



TAHAP keselamatan pemain skuad bawah 16 tahun (B-16) yang sedang beraksi di Kejuaraan B-16 Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018 seharusnya diberi keutamaan dan tidak boleh dikompromi.

Kerisauan sama dilontarkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang nyata bimbang terhadap keselamatan pemain muda negara susulan tindakan melampau penyokong Indonesia yang turut menghina negara ini pada pertandingan terbabit.

Justeru, Tunku Ismail yang juga bekas Presiden FAM itu menyarankan skuad bimbingan Raja Azlan Shah Raja So’ib itu supaya menarik diri sekiranya perlu.

“Saya menyarankan dan akan memastikan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menulis surat bantahan kepada AFF dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta ‘protes’ dan tarik diri dari kejohanan tersebut jikalau perlu.

“Walau apapun, tindakan perlu dikenakan,” kata Tunku Ismail menerusi laman rasmi Johor Southern Tigers, malam tadi.

Dalam masa sama, Tunku Ismail turut menggesa Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya memandang serius terhadap tindakan melampau penyokong Indonesia meskipun terpaksa mengambil keputusan yang sukar demi kebaikan negara.

“Saya faham Menteri Belia dan Sukan yang sentiasa memikirkan diplomatik untuk bertindak. Ini bukan mengenai diplomatik tapi mengenai nama negara yang dihina. Mana yang lebih penting, untuk menjadi popular atau untuk berjaya?

“Sebagai seorang ketua, kadangkala kita tidak boleh asyik nak menjaga hati semua pihak. Kadang-kadang kita perlu lakukan keputusan yang sukar orang nak terima tapi untuk kebaikan negara,” kata Tunku Ismail, malam tadi.

Terdahulu, penyokong tuan rumah melaungkan sorakan ‘Malaysia itu anjing’ dan ‘Amirul itu anjing’ pada perlawanan antara Malaysia dengan Thailand di Stadium Joko Samudro, malam tadi.

Mereka mungkin mahu membalas dendam dengan tindakan pemain muda negara Amirul Ashrafiq Hanifah yang dituduh menghina bendera Indonesia apabila meletakkan bendera terbalik sekali gus menjadi bendera Poland dalam Instagram Story miliknya sebelum berlepas ke negara republik itu, minggu lalu.

Sebelum ini, pada Kejuaraan B-19 AFF di Surabaya bulan lalu, pemain negara dibaling dengan botol, objek dan batu selepas mereka menundukkan tuan rumah menerusi penentuan sepakan penalti pada separuh akhir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here