PRU Thailand mungkin ditunda

0
49



Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-ocha pada Selasa memberi amaran kemungkinan pilihan raya umum tidak dapat dilaksanakan jika keadaan negara tidak aman dan tenteram, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Kenyataan itu dikeluarkan Perdana Menteri Thailand sehari selepas kejadian letupan bom di sebuah hospital tentera di Bangkok yang mengakibatkan puluhan orang cedera.

Menurutnya adalah sukar mengadakan pilihan raya jika terdapat serangan bom dan konflik antara kumpulan pemberontak.

Justeru beliau menggesa kerjasama rakyat bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman di negara itu.

Sebelum itu, pihak berkuasa Thailand mengumumkan keputusan awal siasatan mengenai kejadian letupan di hospital tentera Phramongkutklao di daerah Rajthevi Bangkok.

Dalang serangan berkenaan juga didakwa bertanggungjawab terhadap insiden letupan di Panggung Negara Thailand pada 15 Mei dan di bangunan Government Lottery pada 5 April lepas.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Chalermkiat Srivorakan berkata, polis akan menubuhkan 27 pos kawalan di Bangkok yang beroperasi 24 jam bertujuan meningkatkan tahap keselamatan.

Antara lokasi diberikan pengawasan ketat ialah pejabat tentera, agensi awam, stesen keretapi, pusat beli-belah dan lapangan terbang.

Selain itu, tahap keselamatan di bandar-bandar utama lain turut dipertingkatkan.

-Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here