PRU14 tidak beri impak ke atas asas ekonomi Malaysia – Alpari Research

0
202
Advertisement

KUALA LUMPUR: Alpari Research Analysis Ltd, anak syarikat penyelidikan Alpari, yang merupakan salah satu broker mata wang asing yang terkemuka di dunia, berasa amat positif ke atas ekonomi negara.

Ini kerana katanya, pilihan raya umum akan datang dilihat tidak akan mempunyai kesan ke atas asas-asas ekonomi Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Roberto d’Ambrosio, berkata ekonomi Malaysia akan kekal berdaya tahan kerana ia telah berjaya mengurangkan pergantungan kepada pendapatan minyak. 

“Malaysia adalah salah satu persekitaran yang terbaik bagi pelabur-pelabur asing,” katanya dalam satu taklimat media di sini pada Isnin.

d’Ambrosio berkata, ringgit, yang dijangka lemah berbanding dolar US pada 3.90 menjelang akhir tahun disebabkan oleh jangkaan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat, juga akan meningkatkan daya saing Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport.

Katanya, Malaysia juga tidak perlu khuatir dengan tahap hutangnya kerana ia masih di bawah tahap siling sebanyak 55 peratus daripada keluaran dalam negara kasar, yang secara relatifnya lebih rendah daripada negara-negara lain.

Beliau ketika mengulas mengenai kesan perang perdagangan AS-China, berkata ia diramalkan akan berkurangan kerana kedua-dua ekonomi itu adalah saling berkait dan bergantung antara satu sama lain.

“Bagaimanapun, mungkin terdapat kesan jika produk yang dikilangkan di China, sumber-sumbernya datang dari Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Analisis, Tomasz Wisniewski, berkata permintaan domestik yang semakin meningkat disebabkan oleh pertumbuhan dalam gaji, turut membantu mempertingkatkan ekonomi negara.

“Keadaan politik yang stabil dan polisi Bank Negara Malaysia yang menggalakkan pelaburan asing telah meningkatkan ekonomi Malaysia,” kata Wisniewski.

Wisniewski menjangkakan penanda aras tahap sokongan FBM KLCI berada pada 1,795 dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here