PSSI perlu diambil tindakan

0
352
Advertisement



KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) perlu melayangkan ‘kad kuning’ kepada Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) sebagai amaran terakhir berikutan kelakuan ganas penyokong pasukan itu yang seakan tidak berkesudahan.  

Bekas Setiausaha Agung AFC, Datuk Peter Velappan menegaskan, amaran itu sepatutnya menjadi peringatan memandangkan mereka bakal menjadi tuan rumah beberapa kejohanan besar seperti Sukan Asia, Kejuaraan Futsal Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) serta Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) AFC.

Katanya, penggantungan juga perlu dikenakan sebagai hukuman sekiranya penyokong dari republik itu tidak ‘insaf’ dan terus mencetuskan kekecohan pada masa akan datang.

“Tindakan sedemikian adalah satu perkara yang serius khususnya apabila membabitkan pertandingan bawah umur seperti Kejohaan B-19 AFF. Jadi AFC perlu memberi amaran dan juga mengenakan denda kepada PSSI.

“Jika selepas dikenakan amaran dan denda namun insiden sama tetap berulang, saya berpendapat Indonesia wajar digantung,” katanya.

Velappan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden yang berlaku ketika aksi separuh akhir Kejohanan B-19 AFF membabitkan Malaysia dan Indonesia di Surabaya, minggu lalu.

Skuad B-19 negara diserang penyokong Indonesia selepas perlawanan terbabit lantaran rasa tidak puas hati apabila skuad Garuda Muda tewas kepada Malaysia pada aksi separuh akhir menerusi penentuan sepakan penalti 2-3 selepas aksi sebenar terikat 1-1, 12 Julai lalu.

Menerusi video diterima Sukan NSTP yang dirakam sendiri jurulatih, Bojan Hodak, kelihatan pemain dan pegawai pasukan negara terpaksa berlari ke bilik persalinan untuk menyelamatkan diri daripada diserang penyokong tuan rumah yang didakwa membaling botol minuman dan batu.

Ini bukan kali pertama penyokong Indonesia bertindak sedemikian dan PSSI sudah menerima padah susulan tindakan ganas penyokong bola sepak di negara itu sebelum ini memandangkan pada 2013, PSSI  pernah didenda AS$15,000 (RM60,585) selepas penyokong mereka sekali lagi berkelakuan ganas ketika menyaksikan perlawanan.

Persatuan itu didenda AS$10,000 (RM40,390) selepas penyokong menyalakan mercun dan membaling botol air ketika aksi kelayakan Piala Asia bertemu Arab Saudi dengan denda tambahan AS$5,000 (RM20,195) kerana ia kesalahan berulang dilakukan dalam empat perlawanan pada 2012.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here