Pusat strategik ekonomi Asia

0
71



Kuala Lumpur: Transformasi Greater Kuala Lumpur/ Lembah Klang (Greater KL/KV) terus menunjukkan perkembangan positif dan progresif pada 2016 dengan mengekalkan kedudukannya sebagai pusat aktiviti ekonomi yang strategik di rantau Asia.

Berdasarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2016, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), secara keseluruhannya Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater KL/KV mencapai 115 peratus Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan tahun lalu.

Pencapaian itu dicerminkan oleh pelbagai perkembangan inisiatif NKEA, yang antara sorotan utamanya kejayaan negara menandatangani perjanjian dua hala bersama Singapura bagi Projek Kereta Api Berkapasiti Tinggi (HSR) dengan bermulanya fasa satu Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang pada 16 Disember 2016.

“Projek MRT mencapai penanda kemajuan penting dengan pelancaran fasa pertama laluan Sungai Buloh-Kajang yang melalui 12 stesen dari Sungai Buloh hingga Semantan.

“Apabila fasa kedua dijadualkan beroperasi pada suku ketiga 2017 dari Sungai Buloh hingga Semantan siap, laluan sepanjang 51km dijangka memenuhi keperluan 400,000 penumpang sehari,” menurut laporan berkenaan.

Dalam pada itu, keupayaan InvestKL menarik 13 syarikat multinasional (MNC) global untuk melabur, membuka hab serantau dan mengembangkan perniagaan dengan pelaburan hampir RM9 bilion dan mewujudkan lebih 5,000 pekerjaan, membuktikan Kuala Lumpur kekal sebagai destinasi pelaburan utama.

Sebagai nadi aktiviti ekonomi Malaysia, Greater KL/KV kekal sebagai lokasi ibu pejabat serantau berdaya saing bagi MNC termasuk Voith, Oracle Corporation , Novartis International, Oceaneering International Inc dan China Railway Engineering Corporation (CREC).

Selain menjadikan Greater KL/KV sebagai bandar raya yang lebih hijau dan lebih dinamik, usaha giat ditumpukan di bawah inisiatif Penghijauan Kuala Lumpur yang turut berjaya menanam 135,734 pokok, melangkaui sasaran asal sebanyak 100,000 pokok menjelang 2020. – BERNAMA

Antara inisiatif yang dirancang dan direka khusus untuk melonjakkan daya huni Greater KL/KV adalah projek Sungai Nadi Kehidupan (ROL) yang diperkenalkan baru-baru ini.

Tahun lalu, ia berjaya memulihkan indeks kualiti air di Sungai Gombak dan Sungai Klang daripada Kelas V (tidak sesuai untuk sentuhan) kepada Kelas III.

Selaras dengan inisiatif penghijauan, usaha giat ditumpukan kepada penandaan GPS (GPS-tagging) kepada 30,000 pokok dan pengambilan empat taman angkat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here