Putra Amaris tak cerewet soal watak

0
395
Advertisement



Meskipun namanya dalam karier seni tidaklah popular dan sehebat selebriti lain, Putra Amaris, 33, tetap aktif berlakon.

Tawaran berlakon masih diterima hingga kini dan terbaru Putera Amaris muncul dalam drama Bicara Cinta Tertangguh di Hypp TV.

Putera Amaris atau nama sebenarnya, Amran Ismail berkata selain berlakon drama dia juga berpeluang membintangi filem.

“Saya terbabit dengan penggambaran filem Ratu Kala Jengking di Johor Bahru dan Kota Tinggi terbitan A Aida Production Sdn Bhd.

“Terus terang, saya sangat berbesar hati dengan peluang dan kepercayaan yang diberikan Datuk A Aida.

“Apatah lagi, ia filem yang diadaptasi daripada kisah benar. Sudah semestinya ia memberikan satu pengalaman baru.

“Malah, saya juga dapat bergandingan dengan puluhan pelakon berbakat dan popular tanah air termasuk bekerja di bawah pengarah terkenal, Bade Azmi,” katanya.

Menurut anak jati Johor Bahru ini, biarpun sudah lama berkecimpung dalam bidang lakonan, dia tidak cerewet soal watak.

“Bagi saya apa yang paling utama tawaran berlakon. Selain itu, tengok juga siapa pengarah dan syarikat produksinya.

“Tidak dinafikan, saya sudah biasa berlakon di bawah produksi A Aida Production dan rasa sangat selesa.

“Setakat ini mudah bekerja dengan mereka dan semuanya teratur. Sama ada bekerja ketika Ramadan atau Syawal pun, kebajikan pelakon serta kru terjaga,” katanya.

Anak kelima daripada enam beradik ini berkata dia juga gembira dipilih A Aida untuk berlakon drama popular Andainya Takdir 2 di TV3.

Walaupun melakonkan watak pembantu, Putera Amaris akui selesa bekerjasama dengan barisan pelakon lain dalam drama itu.

Drama Andainya Takdir 2 kini ditayangkan di slot Samarinda mulai 13 Jun lalu yang dibintangi Shukri Yahaya, Nina Iskandar dan Puteri Balqis Azizi selaku teraju utama.

Tetap berasakan dirinya masih baharu dalam bidang lakonan, Putra Amaris mengharapkan lebih banyak peluang melakonkan watak mencabar selepas ini.

“Kalau boleh saya mahu melakonkan watak lelaki yang ada konflik personaliti. Sebagai pelakon saya perlu berani mencuba pelbagai watak supaya tidak dilabel stereotaip.

“Saya mahu dikenali sebagai pelakon versatil. Masih banyak yang perlu dipelajari dan saya tidak segan bertanya kepada pelakon senior dan berpengalaman di lokasi penggambaran,” katanya.

Meraikan Aidilfitri kali pertama sebagai suami, Putra Amaris bertemu jodoh dengan wanita pilihannya, Nur Syazwani Alias, 28, pada 5 Januari lalu.

“Untuk kali ini, kami sepakat beraya di rumah keluarga saya dahulu. Apapun, kami sebenarnya tiada masalah untuk bergilir kerana masing-masing anak jati Johor.

“Cuma, raya kali ini saya agak sedih dan rasa kurang meriah kerana meraikan Aidifitri tanpa ayah tersayang, Ismail Naim yang meninggal dunia empat bulan lalu,” katanya.

Putera Amaris yang kini menceburi perniagaan, bekerjasama dengan jenama jubah popular Abe Aji untuk persediaan masa depan.

Katanya, dia memilih untuk menjalin kerjasama pintar dengan jenama jubah itu kerana pakaian dihasilkan daripada kain bermutu tinggi, rekaan menarik dan harga berpatutan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here