Pyongyang dipercayai mampu hasil lebih banyak bom

0
34


WASHINGTON: Beberapa imej haba di kemudahan nuklear utama Korea Utara menunjukkan negara itu mungkin memproses semula lebih banyak plutonium berbanding jangkaan sebelum ini.

Sebuah badan pemikir di Amerika Syarikat mengandaikan bahawa ia boleh digunakan untuk meningkatkan simpanan senjata nuklear Pyongyang.

Analisis projek pemantau Korea Utara di Washington, iaitu 38 North dilakukan berdasarkan beberapa gambar satelit makmal kimia radioaktif di loji nuklear Yongbyon, sejak September hingga akhir Jun lalu.

Kumpulan pemikir itu berkata, gambar kemudahan bagi meningkatkan keupayaan uranium di Yongbyon turut menunjukkan operasi pengasingan yang boleh digunakan untuk meningkatkan simpanan uranium Korea Utara.

Selain itu, 38 North berkata, terdapat juga tanda aktiviti tempoh singkat di Reaktor Eksperimen Air Korea Utara yang mungkin mencetuskan kebimbangan.

“Beberapa gambar makmal kimia radioaktif menunjukkan sekurang-kurangnya dua pusingan pemprosesan semula yang tidak diketahui sebelum ini.

“Ia mungkin bertujuan menghasilkan sejumlah plutonium tidak diketahui bagi meningkatkan lagi simpanan senjata nuklear Korea Utara,” katanya.

Jika benar, katanya, ia adalah satu kebimbangan bagi Amerika Syarikat yang melihat Pyongyang sebagai salah satu ancaman keselamatan dunia.

Korea Utara menghasilkan bom nuklear menggunakan uranium dan plutonium dan setakat ini negara itu sudah menguji lima bom nuklear.

Beberapa pakar dan pihak keselamatan berkata, Pyongyang mungkin menguji bom nuklear keenam pada bila-bila masa, walaupun Amerika Syarikat mengetuai usaha antarabangsa membendung program senjata negara itu. – Reuters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here