Qatar jawab tuntutan pakatan diketuai Saudi

0
7



Kuwait City: Qatar semalam menyerahkan jawapan rasminya terhadap senarai tuntutan Arab Saudi dan sekutunya kepada emir Kuwait.

Jawapan itu disampaikan Menteri Luar negara itu, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani yang melakukan kunjungan singkat ke Kuwait, kata seorang pegawai yang enggan dikenali.

Kuwait bertindak sebagai orang tengah untuk menyelesaikan sengketa diplomatik antara negara Teluk itu.

Agensi berita rasmi Kuwait (KUNA) melaporkan, Sheikh Mohammed tiba di Kuwait awal semalam bagi menyerahkan mesej daripada Emir Qatar, Sheikh Tamin bin Hamad Al-Thani.

Butir jawapan Qatar itu tidak didedahkan.

Bagaimanapun, Sabtu lalu, Sheikh Mohammed berkata, tuntutan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Mesir itu tidak mungkin dapat dipenuhi oleh negaranya.

Jawapan Qatar itu disampaikan kepada Kuwait beberapa jam selepas empat negara Arab berkenaan bersetuju menerima gesaan Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah supaya tempoh akhir 10 hari yang diberikan kepada Qatar dilanjutkan 48 jam lagi.

Antara tuntuan pakatan Saudi itu termasuk Qatar mengakhiri sokongannya kepada Ikhwanul Muslimin, menutup stesen penyiaran Al-Jazeera, menurunkan hubungan diplomatik dengan Iran serta menutup sebuah pangkalan tentera Turki di negara itu.

Arab Saudi dan sekutunya memutuskan hubungan dengan Qatar 5 Jun lalu, sekali gus mencetuskan krisis diplomatik paling buruk di rantau itu sejak puluhan tahun lalu.

Mereka menuduh Doha menyokong fahaman pelampau dan terlalu rapat dengan musuh ketat Saudi, Iran. Tuduhan itu disangkal Qatar. – Agensi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here