Qatar tawar peluang pendidikan kepada pelarian Syria, Palestin

0
24

DOHA: Lebih 3,000 pelarian Syria dan Palestin di Turki, bakal menikmati peluang pendidikan, menerusi beberapa perjanjian perkongsian yang ditandatangani antara Education Above All Foundation Qatar dengan Pertubuhan SPARK Amerika Syarikat dan Majlis Pengajian Tinggi Turki, lapor agensi berita Qatar (QNA). 

Di samping itu, biasiswa pendidikan kepada 30 guru Palestin di Semenanjung Gaza turut disediakan, bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda di United Kingdom dengan kerjasama British Council.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut, berlangsung di Sidang Kemuncak Inovasi Dunia Untuk Pendidikan (WISE 2017) pada Khamis.

Di bawah perjanjian itu, biasiswa penuh untuk melanjutkan pengajian di universiti, termasuk ansuran yuran pengajian, penginapan, insurans kesihatan dan gaji bulanan turut ditawarkan.

Kerjasama berkenaan secara langsung membantu mencapai matlamat asas untuk menyediakan pendidikan kepada 10 juta kanak-kanak yang terabai.

Education Above All yang berpangkalan di Qatar, satu inisiatif global, diasaskan pada 2012 oleh Sheikha Moza Nasser, bertujuan membina gerakan di peringkat global yang menyumbang kepada pembangunan manusia, sosial dan ekonomi melalui pendidikan berkualiti, program kebajikan serta lain-lain inisiatif.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here