Rakam hidup dalam kubur

0
32



Dudley, Britain: Dua lelaki tinggal di dalam keranda yang ditanam di dalam tanah selama 24 jam dan merakamkan aksi mereka secara langsung semata-mata mahu popular di laman sosial.

Jay Swingler dan Romell Henry memulakan aksi bahaya mereka pada Khamis lalu dan menyiarkan pengalaman mereka ditanam hidup-hidup di YouTube.

Dua lelaki itu mempunyai saluran YouTube dikenali sebagai TGFBro dan sering menyiarkan aksi bahaya semata-mata mahu lebih ramai menonton video mereka.

Sebelum ini mereka duduk di dalam peti sejuk selama 24 jam dan turut menyiarkan aksi mereka di saluran YouTube berkenaan.

Saluran TGFBro mempunyai lebih 2.5 juta pelanggan dan ditonton lebih 381 juta kali sejak dilancarkan pada 2012.

Bagaimanapun, Swingler dan Henry masih tidak berpuas hati dan bertekad untuk membuat aksi lebih bahaya bagi menarik lebih ramai penonton.

Mereka yang berasal dari Dudley membina sebuah keranda dan menggali lubang sedalam satu meter di belakang rumah.

Puluhan ribu pengguna menonton siaran secara langsung berkenaan dan ramai yang mengecam aksi itu yang dianggap sebagai bodoh serta bahaya.

Swingler dalam satu kenyataan di Facebook berkata, “Selepas gagal membuat siaran langsung di dalam peti sejuk kerana capaian Internet yang perlahan kini kami mendapat idea untuk membuat sesuatu yang 10 kali lebih teruk.

“Saya dan Henry akan ditanam hidup-hidup di dalam kubur selama 24 jam.

“Kami menyediakan saluran oksigen dan bekalan makanan yang mencukupi,” katanya.

Swingler kelmarin mengumumkan mereka berjaya menamatkan cabaran itu dan kini merancang aksi yang lebih bahaya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here