Ramadan bulan tarbiah

0
80



ULASAN Kita merasa sangat bersyukur kerana pada ketika ini kita masih diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk menghadapi bulan yang penuh keberkatan Ramadan al-mubarak.

Ramadan yang bakal kita tempuhi ini adalah bulan tarbiah yang mendidik jiwa kita, melatih peribadi, jasmani dan rohani ke arah menjana iman dan takwa serta menghindari perkara-perkara maksiat, mungkar dan sia-sia.

Di samping itu, bulan ini menjadi lebih istimewa dengan keagungan al-Quran yang diturunkan padanya, sekali gus menjadi sumber kekuatan dan panduan sepanjang zaman kepada kita semua.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 185 (maksudnya):

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

Sebagai menyatakan rasa syukur dan kegembiraan kita menyambut tibanya Ramadan al-mubarak ini, seharusnya kita telah mempersiapkan diri dari sudut mental dan fizikal di saat kita menghadapinya.

Sebaliknya, jika kita tidak bersiap sedia, kedatangan Ramadan kali ini akan datang dan pergi begitu sahaja.

Alangkah ruginya kita kerana melepaskan dan mensia-siakan peluang yang Allah SWT tawarkan kepada kita dengan berbagai kelebihan atau fadilat yang berganda ini.

Dalam sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA (mafhumnya):

“Daripada Abi Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman: Setiap amalan anak Adam itu adalah untuk dirinya sendiri kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk aku (Allah) dan akulah yang memberi ganjarannya.”

Bagi memastikan tarbiah Ramadan kali ini benar-benar dihayati, terdapat beberapa langkah penting sebagai persiapan kita melalui detik-detik Ramadan.

Pertama, memasang tekad dan keazaman untuk memenuhi Ramadan dengan ibadah lantaran terbukanya pintu-pintu syurga.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

“Daripada Abu Hirairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Apabila tibanya Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu syaitan-syaitan.”

Kedua, bersungguh-sungguh melakukan taubat dan menyucikan hati serta jiwa nurani dengan mengharapkan maghfirah dan rahmat daripada Allah SWT.

Ketiga, mengambil peluang mempertingkatkan ilmu serta kefahaman yang jelas tentang Ramadan itu sendiri bagi menghadapi didikan selama sebulan sebagai bekalan dan benteng untuk menempuh ujian-ujian dalam sebelas bulan yang bakal mendatang.

Keempat, berusaha menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang sia-sia, melalaikan, tidak memberi manfaat, berkata-kata yang tidak perlu, mengelakkan pertengkaran dan sebagainya kerana boleh membawa kepada permusuhan.

Dan kelima, mengurangkan aktiviti yang tidak perlu dan membebankan pelaksanaan puasa di samping berdoa agar dipertemukan dengan Ramadan yang akan datang.

Tarbiah Ramadan saban tahun ini hendaklah dijadikan sebagai agenda penting dalam kalendar umat Islam.

Usahlah kita alpa sehingga tergamak meninggalkan kefarduan ini tanpa keuzuran yang dibenarkan syarak.

Sesungguhnya perbuatan ini amat dibenci oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabda baginda SAW yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi (mafhumnya):

“Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah bersabda: Sesiapa yang berbuka puasa sehari daripada bulan Ramadan tanpa rukhsah dan sakit yang diizinkan Allah, tidak memadai sekalipun ia qadha puasa tersebut selama-lamanya.”

Tuntasnya, Islam memandang serius berhubung pelaksanaan ibadah puasa Ramadan.

Bahkan, ia adalah salah satu paksi dan rukun Islam yang mesti ditegakkan dalam kehidupan seharian umat Islam.

Meninggalkan puasa Ramadan tanpa alasan atau tanpa uzur syarie merupakan dosa besar yang tidak mungkin dapat digantikan dengan qada puasa dari sudut nilainya.

Bagi meningkatkan penghayatan Ramadan kali ini, marilah kita merenung kembali sejauh manakah Ramadan ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Ingatlah, teras kecemerlangan umat Islam bergantung kepada takwa yang dimiliki yang mendatangkan kebaikan kepada masyarakat dan negara.

Tarbiah Ramadan akan memandu kita meningkatkan takwa melalui amalan fardu atau sunat, membudayakan diri ke masjid, membaca dan memahami ayat-ayat al-Quran, bertaubat, berdoa dan berzikir.

Mudah-mudahan kehidupan kita akan dinaungi takwa dan sekaligus cemerlang di dunia dan di akhirat. Akhir sekali, beberapa perkara yang perlu di ambil perhatian iaitu:

  • Kefarduan puasa dan fadilat Ramadan bukan sahaja untuk manfaat diri individu Muslim semata-mata bahkan meliputi seluruh umat dengan ganjaran takwa di sisi Allah SWT.
     
  • Ramadan al Mubarak adalah bulan limpahan ganjaran pahala ibadah yang perlu direbut berasaskan ilmu dan kefahaman yang betul.
     
  • Amalan di sepanjang bulan ini dilipatgandakan oleh Allah SWT sebagai kurniaan kepada mereka yang gemar beramal mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah al Baqarah ayat 183 (maksudnya):

”Wahai orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”


Tulisan ini disesuaikan daripada khutbah Jumaat hari ini yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here