Ramai gagal melihat umat Islam sebagai mangsa – Permaisuri Rania

0
86
Advertisement

PERMAISURI Jordan, Rania Al Abdullah melahirkan rasa sedihnya dengan sikap masyarakat antarabangsa terhadap kesengsaraan yang dialami ratusan ribu penduduk etnik Islam Rohingya terutamanya selepas melawat sebuah kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh minggu lalu.

Dalam wawancara bersama agensi antarabangsa, CNN, Permaisuri Rania berkata adakah masyarakat dunia gagal melihat etnik Islam Rohingya sebagai mangsa kekejaman dan penindasan, apatah lagi membutakan mata terhadap pembersihan etnik secara sistematik berdekad-dekad lamanya.

“Kekejaman ini bukan baharu berlaku, ia telah diatur secara sistematik sejak berdekad-dekad lamanya … sudah menjadi stereotaip negatif hanya kerana ia berlaku kepada masyarakat Islam, ia tidak dipandang.

“Ramai pihak di seluruh dunia tidak melihat umat Islam sebagai mangsa dalam situasi ini dan sebaliknya berlaku jika umat Islam yang berada di pihak satu lagi,” katanya kepada hos Christiane Amanpour.

Kata Permaisuri Rania lagi, beliau sedih apabila melihat keadaan di kem pelarian terbabit dan mendengar sendiri luahan pelarian yang antara lain menceritakan pengalaman mereka cuba melarikan diri dari kampung halaman selain keadaan sedih kanak-kanak yang terabai.

Lebih memilukan apabila beliau melihat sikap pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi yang juga pemenang Hadiah Nobel antarabangsa yang gagal mengecam malah berdiam diri dalam isu itu.

Justeru, katanya, sudah tiba masa untuk masyarakat antarabangsa campur tangan.

Sejak 25 Ogos lalu, lebih 600,000 Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh di tengah-tengah bantahan dunia untuk menamatkan keganasan itu.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menganggap tindakan Myanmar itu sebagai satu tindakan penghapusan etnik.

PBB berkata kira-kira 800,000 orang Islam Rohingya kini tinggal di penempatan sementara dengan hampir 60  peratus daripada mereka adalah kanak-kanak hingga remaja berusia 17 tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here