Rampas dadah bernilai RM520 juta

0
57



Manila: Pihak berkuasa Filipina berjaya merampas 605 kilogram dadah jenis methamphetamine yang diseludup masuk dari China susulan maklumat dari kerajaan China.

Pegawai Biro Siasatan Nasional semalam memberitahu, nilai dadah berkenaan di pasaran gelap mencecah 6.05 bilion peso (RM520 juta).

Katanya, dadah itu dirampas kelmarin di sebuah gudang di Manila dan sebahagian lagi dipintas dari satu syarikat penghantaran.

Operasi bersama itu disertai oleh Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina, polis dan kastam selepas mendapat maklumat daripada Pejabat Suruhanjaya Kawalan Narkotik Kebangsaan China mengenai satu penghantaran dadah yang besar.

Dadah berkenaan diseludup dari China ke Filipina oleh satu sindiket dadah melalui jalan laut.

Sejak berkuasa pada tahun lalu, Presiden Filipina Rodrigo Duterte melancarkan perang untuk membasmi pengedaran dadah yang berleluasa di negara itu.

Bagaimanapun, kempen Duterte itu dikritik banyak pihak termasuk negara asing selepas menyebabkan ribuan suspek dadah dibunuh. – AP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here