Rayu MOM mohon Khairul ke Sukan Asia

0
160
Advertisement



PELARI pecut negara, Khairul Hafiz Jantan akhirnya kembali menemui rentak larian apabila berjaya melakar catatan masa terbaik peribadi tahun ini di Jerman, semalam.

Khairul Hafiz yang kini berada di Jerman dalam rangka latihan dan pertandingan bagi memburu tempat ke Sukan Asia Indonesia bulan depan mengungguli saingan di Kejohanan Kebangsaan Besigheim dengan catatan 10.28s dalam acara 100m, catatan terbaiknya tahun ini.

Muhammad Zulfiqah Ismail di tempat kedua mencatat 10.40s, turut berjaya merekodkan catatan terbaik peribadi.

Manakala tempat ketiga juga milik pelari negara Jonathan Nyepa, 10.42s.

Ia disifatkan penutup paling manis buat atlet negara yang berkampung di Jerman selama dua bulan sebelum pulang ke tanah air minggu depan.

Bagi jurulatih Khairul Hafiz dan Zulfiqah, Mohd Poad Md Kassim, beliau menuntut Kesatuan Olahraga Malaysia dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mempertimbangkan penyertaan Khairul Hafiz ke Sukan Asia.

Tegasnya ini adalah peluang terbaik buat Khairul Hafiz yang juga pemegang rekod kebangsaan acara 100 dan 200m itu bersaing dengan atlet berkelas dunia selain menimba pengalaman berguna untuk dijadikan bekalan pada masa depan biarpun tidak melepasi syarat kelayakan atas tiket kategori A iaitu, 10.18s.

“Sukan olahraga bukan sukan magis. Ia perlukan pendedahan. Atlet tidak boleh melakar kejutan jika peluang tidak diberikan.

“Saya harap Khairul Hafiz akan diberi peluang ke Sukan Asia. Untuk mendapatkan pingat kali ini mungkin sukar tapi dia perlu pengalaman kerana dengan pengalaman akan mematangkannya pada Sukan Asia seterusnya.

“Semoga perkara ini dapat dipertimbangkan dan orang berkenaan dapat melihat lebih jauh perkara ini,” katanya.

Mengakui prestasi raja pecut Asia Tenggara itu terumbang-ambing apabila tewas di Kejohanan Terbuka Malaysia Mei lalu selain masa yang tidak memberangsangkan iaitu 10.50s di temasya Komanwel Gold Coast, namun Khairul Hafiz kini sudah membuktikan dia masih lagi pelari terbaik negara.

Tegas Poad, ketika Singapura dan Brunei juga turut menghantar pelari pecut mereka di Sukan Asia, di manakah tempat buat pelari pecut negara biarpun Malaysia mempunyai ramai pelari yang boleh diketengahkan.

Terdahulu pada pertandingan sebelum di Jerman, Jonathan dan Zulfiqar mengungguli tempat pertama dan kedua, masing-masing dengan catatan masa 10.46s dan 10.52s dalam final B. Khairul Hafiz pula sekadar menamatkan saingan final A di kedudukan keempat dengan catatan masa 10.39s.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here