Red Giants tak resah tanpa 3 pemain

0
54
Advertisement



 

PENGENDALI Selangor Nazliazmi Mohamad Nasir memiliki banyak pilihan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan tiga tonggak utama mereka menjelang aksi pembukaan Piala Malaysia berdepan PKNP FC di Stadium Shah Alam, esok.

Dua pemain import Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn serta pemain sayap, Syahmi Safari tidak berada dalam skuad Red Giants apabila mewakili negara masing-masing ke Sukan Asia Jakarta-Palembang yang akan bermula minggu depan.

Menurut Nazliazmi dia masih memiliki beberapa pemain antaranya Amri Yahyah, Sean Selvaraj, Joseph Kalang Tie dan Faizzudin Abidin yang boleh mengisi kekosongan ditinggalkan tiga pemain itu.

Katanya, apa yang penting adalah semua pemain memberikan fokus sepenuhnya untuk meraih tiga mata pertama buat juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu.

“Sudah pasti Selangor akan bermain sebaik mungkin untuk mendapatkan tiga mata pertama, sekali gus menjadi motivasi untuk mengharungi perlawanan seterusnya,” kata Nazliazmi.

“Kami tidak boleh pandang rendah keupayaan PKNP kerana mereka adalah pasukan yang sering melakukan kejutan dan Piala Malaysia juga berbeza dengan saingan Liga Super dan Piala FA.

“Setiap pasukan sentiasa berikan aksi terbaik dan Selangor juga akan mengambil aura kejayaan dan kegemilangan dalam Piala Malaysia sebelum ini.”

Syahmi kini berada di China bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk aksi pemanas badan terakhir berdepan skuad bawah 23 (B-23) tahun China, Ahad ini sebelum berlepas ke Jakarta minggu depan.

Sementara itu, Evan dan Ilham juga bersama skuad Indonesia dalam usaha mereka memburu pingat selaku tuan rumah Sukan Asia.

Ketiadaan mereka dijangka mempengaruhi persembahan Selangor dalam saingan Piala Malaysia dengan Red Giants diundi dalam Kumpulan D bersama Pahang, PKNP dan Sabah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here