'Reds mampu julang EPL'

0
95
Advertisement



LONDON: Pemain baharu Liverpool, Fabinho berkata kelabnya mampu merampas kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada Manchester City selain cuba ‘memancing’ bintang Perancis, Kylian Mbappe ke Anfield.

Fabinho berhijrah ke Liverpool dari kelab Perancis, Monaco dengan nilai 43.7 juta pound (RM232.47 juta), awal bulan ini dan pemain kebangsaan Brazil itu yakin dia akan memperoleh musim yang mengujakan di Merseyside.

Dua bekas rakan sepasukannya di Monaco, Benjamin Mendy dan Bernardo Silva bermain untuk City dengan The Reds menamatkan kempen musim lalu di tangga keempat dan ketinggalan 25 mata.

Tetapi Fabinho yakin Liverpool, yang mara ke final Liga Juara-Juara musim lalu berada dalam keadaan yang baik untuk menjuarai trofi liga Inggeris pertama sejak 1990.

Selain Fabinho, skuad kendalian Jurgen Klopp dikuatkan dengan kehadiran beberapa pemain seperti Naby Keita, Xherdan Shaqiri dan penjaga gol Brazil, Alisson.

“Saya percaya kami mempunyai pasukan yang amat baik dan kami akan mampu untuk bersaing merebut kejuaraan,” kata Fabinho memetik laporan media Britain.

“Saya difahamkan kami memiliki deretan pemain menakjubkan. Kami mempunyai pengurus yang amat bagus. Saya sedar yang City adalah juara dan pada musim lalu mereka menghasilkan permainan yang menakjubkan.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk merampas kejuaraan daripada mereka dan membuatkan semua orang gembira.”

Dan jika Liverpool menjuarai gelaran, ia mungkin membantu Fabinho dalam usahanya untuk memujuk bekas rakan sepasukannya, Mbappe dari Paris Saint Germain (PSG) ke Anfield.

Selepas meninggalkan Monaco, Mbappe membantu PSG menjulang tiga kejuaraan domestik musim lalu sebelum membantu negaranya, Perancis menjulang Piala Dunia, bulan ini.

Ketika ditanya mengenai Mbappe, Fabinho berkata: “Kylian Mbappe memberikan saya mesej tahniah kerana datang ke Liverpool. Malangnya, saya tidak berpeluang untuk mengucapkan tahniah kepada atas apa dilakukan di Piala Dunia.”

Ditanya sama ada dia akan memberitahu Mbappe supaya menyertai Liverpool, Fabinho berkata: “Dia sudah menjelaskan musim ini dia akan kekal di PSG tetapi saya akan memujuknya dengan perlahan supaya dia datang.”

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here