Reds tak perlu ganti Coutinho

0
39
Advertisement



LONDON: Juergen Klopp menegaskan Liverpool tidak pernah merancang untuk mencari pengganti Philippe Coutinho pada jendela perpindahan kerana pemain itu tidak mampu diganti.

Coutinho menyertai Barcelona dengan perjanjian lumayan £142 juta (RM753 juta) tetapi ketiadaannya tidak begitu dirasai Reds yang menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di kedudukan empat teratas dan mara ke final Liga Juara-Juara musim lalu.

Dana yang diperoleh ketika menjual perancang Brazil itu dilaburkan bagi mendapatkan pertahanan tengah, Virgil van Dijk musim lalu.

Ia diikuti pembelian Fabinho dari AS Monaco dan Naby Keita dari RB Leipzig yang menguatkan jentera tengah Klopp dengan kehadiran Xherdan Shaqiri memberi pilihan kreatif bagi jentera serangan.

Penjaga gol Brazil, Alisson kemudian dibeli dengan memecahkan rekod perpindahan termahal kelab tetapi Liverpool tidak membeli pemain yang spesifik bagi menggantikan Coutinho atau pemain sepertinya selepas cubaan membawa Nabil Fekir ke Anfield dari Lyon gagal.

“Anda tidak boleh menggantikan Phil Coutinho dengan pemain yang corak permainannya betul-betul serupa,” kata Klopp.

“Dia adalah Phil Coutinho. Dia mempunyai gaya permainan tersendiri, pemain yang secara taktikal menakjubkan.

“Dia boleh bermain di bahagian sayap, nombor lapan dan nombor 10, amat menakjubkan. Saya tidak mahu meletakkan kepada mana-mana pemain saya di posisi yang mana orang akan sentiasa berkata, ‘Dia adalah pengganti Phil.’”

Klopp difahamkan cukup berbangga dengan prestasi skuad kendaliannya pada pertengahan kempen musim lalu dengan pengkritik mula melabel mereka sebagai antara pencabar sebenar kejuaraan liga musim ini.

“Saya fikir perkara yang paling besar kami lakukan pada pertengahan musim lalu adalah kami tidak bercakap begitu banyak mengenai Phil,” kata bekas pengurus Borussia Dortmund itu.

“Kami tidak perlu menggantikan Phil. Di pasaran ketika ini, tiada pengganti buatnya. Tapi ada ramai pemain yang bagus dan kami membawa beberapa pemain ke sini.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here