Rela lepas demi TRW

0
48



Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan Zahasmi Ismail, 51, pasrah jika jawatan disandangnya kini beralih tangan asalkan dapat melangkah lebih jauh dalam baki saingan Liga Super dan kempen Piala Malaysia.

Bagi Zahasmi, beliau menyerahkan segala-galanya kepada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bagi menentukan kedudukannya.

Jelasnya, jika badan induk itu berhasrat menggantikannya dengan Pengarah Teknikal KAFA Alfredo Gonzales, beliau bersedia menerimanya dengan hati terbuka demi maruah pasukan.

Zahasmi berkata, mungkin Gonzales boleh menggunakan pengalamannya bagi membantu menaikkan semula kegarangan The Red Warriors (TRW) seperti sebelum ini.

Katanya, jika apa yang dikatakannya betul, beliau tidak akan berundur diri, sebaliknya, bersedia membantu Gonzales membentuk kelainan ke arah corak permainan lebih jitu.

“Jangan salahkan KAFA. Saya sendiri yang meminta Tan Sri (Annuar Musa) dua bulan lalu, supaya membawa masuk seorang jurulatih dari luar (negara) bagi membantu memperkasakan Kelantan.

“Saya dan barisan kejurulatihan lain yakin berbekalkan pengalamannya dalam bola sepak, Gonzales dapat memberi idea bernas ketika sesi latihan sepanjang enam minggu berehat sempena Ramadan,” katanya.

Jurulatih dari Uruguay itu dilihat mungkin menggantikan Zahasmi sekali gus menduduki ‘kerusi panas’ selaku pengendali baru TRW dalam tempoh terdekat.

Walaupun dibelenggu pelbagai masalah termasuk kelewatan pembayaran gaji, pencapaian jurulatih itu agak membanggakan selepas pasukannya berjaya mengekalkan rekod bersih tanpa kalah di gelanggang luar sekalipun baru mencipta satu kemenangan di Kota Bharu.

Pengerusi Konsortium Al-Hamra, Tan Sri Annuar Musa menerusi entri Facebook miliknya, kelmarin, pula membayangkan struktur barisan kejurulatihan skuad Pantai Timur itu perlu dirombak jika mahu terus bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Kenyataan bekas Presiden KAFA itu mungkin berkaitan dengan kekecewaannya terhadap aksi hambar Kelantan selepas terikat seri 2-2 dengan Pulau Pinang pada aksi Liga Super di Kota Bharu, malam kelmarin.

“Taktikal pasukan perlu berubah mengikut kesesuaian baru. Mungkin pengalaman bola sepak (Amerika Latin) daripada Gonzales perlu dimanfaatkan.

“Saya rasa TRW juga perlu diperbaiki lagi. Impak pemergian (Mohammed) Ghaddar belum dibaiki. Bako (Abou Bakr Al Mel) nampak sedikit tertekan (ketika bertemu Pulau Pinang),” katanya.

Sementara itu, sumber rapat KAFA memaklumkan, penyerang import, Alessandro Celin bakal ditamatkan kontraknya selepas Annuar dan KAFA tidak berpuashati dengan prestasinya.

“Dua atau tiga pemain dari Eropah termasuk Afrika bakal diuji, seminggu dua lagi kerana kita sudah kesuntukan masa berikutan pintu perpindahan pemain akan berakhir, 12 Jun ini.

“Kali ini, kita memerlukan seorang import yang berkualiti dan terbaik untuk digandingkan dengan Bako. Saya enggan mengulas lebih lanjut. Biarlah Tan Sri yang mengumumkannya,” katanya.

SHARE
Previous articleTetap waspada
Next articleUMK, NSTP erat hubungan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here