Remaja mati di kem rawatan ketagihan internet cetus pelbagai reaksi

0
41

CHINA: Seorang remaja dari China meninggal dunia beberapa hari selepas dihantar ke kem rawatan ketagihan internet, sekaligus mencetus pelbagai kritikan terhadap institusi tersebut.

Remaja berusia 18 tahun itu didakwa mengalami beberapa kecederaan dalam insiden yang berlaku di wilayah timur Anhui pada awal bulan ini.

Menurut ibu mangsa, Liu, anaknya dihantar ke kem rawatan tersebut berikutan ketagihan internet yang serius.

Pusat rawatan yang terletak di bandar Fuyang itu menggunakan kombinasi “bimbingan psikologi dan latihan kecergasan” untuk mengatasi masalah ketagihan internet dalam kalangan remaja.

Liu menghantar anaknya pada malam 3 Ogos. Dua hari kemudian, kedua ibu bapa mangsa dimaklumkan bahawa anak mereka telah dibawa ke hospital, di mana dia kemudian meninggal dunia.

Punca kematian remaja itu masih tidak diketahui. Laporan doktor bagaimanapun menunjukkan bahawa mangsa mengalami lebih daripada 20 kecederaan luaran, serta beberapa kecederaan dalaman.

“Tubuh anak saya dipenuhi parut… dia masih sihat semasa saya menghantarnya, bagaimana dia boleh meninggal dalam masa 48 jam?” kata Liu dalam akhbar Anhui Shangbao.

Penyiar CCTV negeri berkata pengarah pusat rawatan tersebut serta empat staf pengajar telah ditahan untuk membantu siasatan. Sementara itu, pihak berkuasa telah menutup kem itu untuk siasatan lanjut, lapor portal BBC.

Berikutan kejadian itu, rata-rata warga media mengecam pendekatan disiplin yang digunakan pusat rawatan tersebut, namun ada juga yang mengkritik ibu bapa remaja itu.

Seorang editor akhbar Mingguang Daily menyatakan bahawa ‘sesetengah ibu bapa apabila berhadapan dengan masalah seperti ini, gagal menjalankan tanggungjawab mereka untuk mendidik, sebaliknya ingin mencari jalan mudah dengan menggunakan bantuan pihak ketiga’.

Kem rawatan ketagihan internet ala ketenteraan semakin bertambah di China berikutan isu ketagihan internet dalam kalangan remaja dipandang serius oleh pihak berkuasa negara itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here