Rezeki Fizo selepas empat tahun

0
27


FIZO sahkan isterinya, Mawar Abdul Karim hamil dengan usia kandungan kini memasuki minggu kelapan. – Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Fizo Omar, 32, mengesahkan isterinya, Mawar Abdul Karim, 28, hamil dengan usia kandungan kini memasuki minggu kelapan.

Fizo yang kini bergelar usahawan dan penceramah motivasi tidak menyangka demam dan pening dialami isteri hingga dirawat di hospital bulan lalu, mengundang khabar gembira.

“Alhamdulillah… rezeki ini datang tepat pada masanya. Percaturan Allah yang sebaik-baiknya kerana lambat dikurniakan anak memberi ruang kepada kami mencari rezeki dan mengukuhkan perniagaan.

“Apabila bisnes kami sudah okay dan kami semakin matang, tiba-tiba muncul rezeki yang sememangnya kami nantikan,” katanya kepada BH Online.

FIZO kini bergelar usahawan dan penceramah motivasi. – Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Fizo yang sudah empat tahun berkahwin dengan Mawar, bersyukur ikhtiar untuk mendapatkan zuriat berjaya.

“Dulu apabila orang tanya, saya cakap insya-Allah akan bagi rezeki itu. Ini kerana Allah tidak akan memberi segala-galanya.

“Setiap orang ada bahagian masing-masing dan kami juga berikhtiar,” katanya.

Kelmarin, berita kehamilan Mawar dikongsi Pakar Perbidanan dan Sakit Puan terkemuka, Profesor Datuk Dr Hamid Arshat menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Hamid mengesahkan Mawar sedang berada pada peringkat awal kehamilan.

Fizo berkata, dia sekarang lebih kerap berada di rumah menemani Mawar. Namun, sesekali ‘turun padang’ memantau operasi restoran yang terletak berhampiran kediaman mereka.

“Isteri saya diminta tidak tertekan atau membuat kerja berat. Jadi kebanyakan masa kami hanya di rumah dan saya memasak makanan berkhasiat untuknya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here