RHB, AMMB tamatkan rundingan penggabungan

0
53

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd dan AMMB Holdings Bhd saling bersetuju untuk menamatkan perbincangan bagi cadangan penggabungan dua kumpulan perbankan itu apabila kedua-dua pihak gagal mencapai perjanjian untuk menerima secara bersama terma dan syarat bagi cadangan penggabungan itu, kata bank-bank itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.

“Dengan keputusan itu, kami kini akan terus melaksanakan inisiatif kami di bawah strategi sekarang bagi mewujudkan nilai kepada pemegang saham kami dan menumpukan untuk menyediakan keselesaan terbaik kepada pelanggan,” kata Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking Group Datuk Khairussaleh Ramli.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank Group Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata memandangkan kekuatan AmBank Group, bank itu yakin dapat melangkah kehadapan meskipun hakikat bahawa penggabungan itu tidak menjadi kenyataan.

“Strategi dan hala tuju kumpulan kami kekal sama kerana kami berhasrat untuk melaksanakan aspirasi pertumbuhan Group Top 4 kami.

“Kami kekal menumpukan kepada pelan perniagaan 2018 tahun kewangan kami sejajar dengan strategi Top 4 kumpulan ketika kami berusaha ke arah menjalankan operasi bank dengan lebih baik di samping menyediakan pulangan optimum bagi pemegang saham kami,” kata Sulaiman.

Dengan penamatan perbincangan penggabungan selama tiga bulan, tempoh eksklusif, berdasarkan perjanjian eksklusif yang dimeterai antara kedua-dua pihak pada 1 Jun, 2017, akan luput serta merta.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here