Ringgit, Bursa Malaysia kekalkan momentum positif

0
158
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ringgit hari ini dibuka sedikit rendah pada 3.8935 berbanding dolar Amerika.

Ini merupakan sedikit penurunan berbanding kadar 3.8850/AS$ pada penutup Jumaat.

Matawang tempatan menerima sedikit tekanan daripada pengukuhan dolar Amerika yang meningkat selepas Amerika Syarikat melaporkan prestasi ekonomi yang positif, serta penyusutan harga minyak mentah dunia.

Ringgit bagaimanapun berjaya mengekalkan paras dagangan bawah 4.00/AS$, sejak berjaya mencecah paras 3.9980/AS$ 5 Januari lalu.

Sementara itu pelabur asing turut mencatatkan belian bersih di Bursa Malaysia minggu lalu, melanjutkan tempoh belian bersih pelabur asing kepada enam minggu berturut-turut.

Menurut Bursa Malaysia, pelabur asing melakukan belian bersih bernilai RM344.6 juta bagi minggu berakhir 2 Feb 2018, berbanding RM872.6 juta pada minggu sebelumnya.

“Pelabur asing membeli RM186.8 juta ringgit dalam bentuk ekuiti pada Isnin, selepas saham bank-bank tempatan meningkat ekoran jangkaan bank akan memperoleh keuntungan kadar faedah susulan pengumuman kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara pada 26 Januari 2018,” kata firma penyelidikan MIDF Research.

Pelabur asing bagaimanapun menjual sejumlah RM70.6 juta bersih pada Selasa, sebelum kembali mencatat RM228.5 juta belian bersih pada Jumaat.

MIDF berkata, pelabur asing membeli sejumlah RM3.38 bil bagi keseluruhan Januari, lapan kali ganda lebih tinggi berbanding Januari 2017.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here