Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US

0
155
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US dalam dagangan awal hari ini berikutan permintaan belian yang lebih baik, didorong oleh peningkatan harga minyak global yang memacu sentimen pasaran terhadap unit tempatan berkenaan.

Pada 9.07 pagi ini, ringgit disebut pada 4.0750/0800 berbanding 4.0800/0850 pada Jumaat lepas.

Seorang peniaga berkata harga minyak global meningkat berikutan pengeluaran yang lebih rendah pada Julai dengan dagangan niaga hadapan minyak mentah Brent menokok lima sen kepada US$73.26 setong manakala niaga hadapan minyak mentah US West Texas Intermediate (WTI) naik 12 sen kepada US$68.61 setong.

Sementara itu, Penganalisis FXTM Research Lukman Otunuga menjangkakan ringgit akan pulih sedikit berbanding dolar US minggu ini dengan bersandarkan data ekonomi domestik yang positif seperti jualan runcit bulanan, kadar pengangguran, output pembinaan untuk suku kedua dan pengeluaran perindustrian pada bulan Jun yang dijadual diumumkan minggu ini.

Dalam pada itu, berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9803/9855 daripada 2.9770/9811 Jumaat lepas dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.6646/6694 daripada 3.6523/6574.

Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.2971/3056 daripada 5.3064/3146 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7115/7181 daripada 4.7222/7292 pada Jumaat lepas.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here