Ringgit dijangka stabil, diniaga antara 4.0900 dan 4.1200 minggu depan

0
16

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka stabil dan diniaga antara 4.0900 dan 4.1200 berbanding dolar US minggu depan selepas meningkat berikutan sentimen positif tempatan, kata peniaga.

Ketua Pakar Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamaruddin Mohd Nor berkata, ringgit naik 8.4 peratus setakat ini tahun ini berbanding dolar ekoran jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) pada suku pertama 2018.

Jangkaan itu timbul berikutan pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh sebanyak 6.2 peratus pada suku ketiga tahun ini.

Pengukuhan ringgit juga disebabkan pemulihan minat terhadap bon serta kenaikan harga minyak mentah, katanya.

“Ringgit dijangka stabil selepas peningkatan kukuh minggu lepas kerana tidak ada data ekonomi penting akan dikeluarkan minggu depan bagi memacu pasaran.

“Indeks Harga Pengguna pada Oktober berada pada 3.7 peratus yang diumum pada Jumaat, jika disokong data ekonomi makro yang positif lain, akan menguatkan lagi kemungkinan BNM menaikkan OPR dalam tempoh terdekat yang seterusnya menyokong mata wang tempatan itu,” katanya kepada Bernama.

Kamaruddin berkata, kekukuhan ringgit juga disebabkan kelemahan dolar US selepas amaran Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS yang akan bersara, Janet Yellen, mencetuskan ketidaktentuan pasaran mengenai dasar kadar faedah AS tahun depan ketika pembuat dasar bimbang mengenai prospek inflasi.

Sementara itu, Hong Leong Research berkata, ringgit meningkat 1.63 peratus minggu ke minggu kepada 4.1080 berbanding dolar US dan menokok berbanding lapan mata wang utama lain.

“Kami menjangka kenaikan ringgit sudah berakhir selepas meningkat lima hari berturut-turut. Ringgit lemah sedikit berbanding dolar US minggu depan, lebih lebih lagi jika dolar mendapat rangsangan daripada data AS,” tambahnya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit mengukuh 445 mata asas kepada 4.1155/1185 berbanding dolar US daripada 4.1600/1630 Jumaat lalu.

Berbanding mata wang utama lain, ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0553/0584 daripada 3.0656/0685, menokok berbanding pound Britain kepada 5.4839/4895 daripada 5.5120/5168, naik berbanding yen Jepun kepada 3.6927/6964 daripada 3.6961/6998 dan menambah berbanding euro kepada 4.8835/8887daripada 4.9055/9103.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here