Ringgit meneruskan momentum pengukuhan berbanding dolar US

0
86
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya apabila dibuka tinggi pagi Khamis berbanding dolar US, kata peniaga.

Dolar US susut kepada paras terendah dalam tempoh tiga tahun berbanding mata wang lain ekoran ulasan oleh setiausaha perbendaharaan Amerika Syarikat Steven Mnuchin bahawa beliau menyambut baik penyusutan mata wang negara itu memandangkan kedudukan itu baik untuk perdagangan serta peluang lain untuk negara berkenaan.

Pada 9.00 pagi, ringgit berada pada paras 3.9010/9040 berbanding dolar daripada 3.9110/9140 pada penutupan Rabu.

Ketua Pedagang Oanda Corp bagi Asia Pasifik Stephen Innes berkata kedudukan harga semalaman itu menunjukkan pergolakan dolar US itu sendiri berbanding kedudukan pasaran pra-Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia.

“Bagaimanapun mata wang tempatan disokong oleh kenaikan harga minyak mentah dan penyusutan dolar.

“Sementara itu, hari ini merupakan penentuan ringgit berdasarkan keputusan mesyuarat BNM,” katanya.

Beliau berkata jika BNM memberi isyarat satu lagi kenaikan kadar untuk 2018, tindakan itu akan mencetuskan situasi menguji penurunan serta-merta ringgit kepada 3.70, namun jika BNM membuat satu kenaikan tunggal bagi 2018, pasaran akan menguji paras 3.80.

Jika BNM mengambil tindakan memihak kepada kadar faedah rendah, yang mencadangkan tiada kenaikan kadar, ringgit boleh melepasi 4.00, kata Innes.

Data Indeks Harga Pengguna (IHP) semalam yang mencatatkan 3.5 peratus bagi Disember dan 3.7 peratus bagi setahun penuh 2017, berada dalam sasaran inflasi 3-4 peratus bank itu.

Innes berkata BNM masih dijangkakan menaikkan kadar faedah hari ini memandangkan harga minyak yang lebih kukuh akan diterjemahkan sebagai inflasi tinggi pada 2018.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali yen Jepun.

Ia rendah berbanding euro kepada 4.8353/8406 daripada 4.8242/8295 pada Rabu dan susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9815/9840 daripada 2.9803/9832.

Ringgit susut berbanding pound British kepada 5.5484/5538 daripada 5.5110/5168 tetapi meningkat berbanding yen kepada 3.5648/5686 daripada 3.5658/5695

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here