Risda jalin kerjasama dengan NGO Islam Filipina bangunkan industri halal

0
227
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) Islam, Interfaith Believers for Change, dari Manila, Filipina untuk membangunkan industri halal di negara itu mulai April ini.

Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata usaha itu meliputi penubuhan jawatankuasa halal, pengendalian umrah dan haji serta mewujudkan perkampungan industri halal di Mindanao.

Beliau berkata, potensi pasaran halal di Filipina juga tinggi memandangkan penduduk Islam di negara itu berjumlah kira-kira 20 juta.

“Pada Februari lalu, saya telah berbincang dengan wakil NGO Islam Filipina dan mereka telah meminta nasihat kita untuk membantu mereka membangunkan industri halal yang masih tidak wujud di negara itu.

“Usaha ini turut mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan juga bantuan kepakaran universiti milik RISDA, Kolej Universiti Agrosains Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas ditemui pada majlis Anugerah Vendor Terbaik RISDA Fleet Sdn Bhd (RFSB) di pejabat RISDA di sini pada Isnin.

RFSB adalah anak syarikat RISDA yang menguruskan pelbagai segmen perkhidmatan pengangkutan seperti lori, treler kargo, treler tangki serta perkhidmatan servis dan alat ganti.

Terdahulu, dalam ucapan perasmian, Zahidi berkata RFSB telah membelanjakan RM11.2 juta setahun bagi pembayaran kos sewa lori vendor di seluruh negara.

“RFSB memiliki 250 orang vendor yang berdaftar… ini membuktikan wujudnya peluang perniagaan dan pekerjaan di kawasan luar bandar tanpa kita sedari,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here