Rizieq jadi suspek

0
34



Jakarta: Polis Jakarta semalam secara rasmi menamakan ulama kontroversi dan pemimpin Barisan Pembela Islam (FPI), Rizieq Shihab sebagai suspek kes berbalas mesej lucah dengan seorang wanita.

Rizieq dinamakan sebagai suspek tanpa disoal siasat selepas dia dua kali gagal hadir apabila dipanggil polis pada April dan Mei lalu.

“Penyiasat di unit jenayah khas polis Jakarta menaikkan status Rizieq daripada saksi kepada suspek,” kata jurucakap polis Jakarta, Argo Yuwono kepada Jakarta Post semalam.

Argo memberitahu, penyiasat mempunyai bukti kukuh untuk menamakan Rizieq sebagai suspek.

“Dia bakal didakwa mengikut artikel 4, 6 dan 8 undang-undang pornografi 2008,” katanya.

Menamakan seseorang sebagai suspek adalah proses undang-undang di Indonesia yang menunjukkan polis mempunyai bukti untuk mendakwa tertuduh di mahkamah.

Pemimpin itu kini berada di Arab Saudi dan dilaporkan enggan kembali semula ke Indonesia sehingga kes itu ditarik balik.

Rizieq disiasat polis susulan penyebaran mesej dan gambar lucah melalui aplikasi WhatApp suspek dengan aktivis politik, Firza Husein.

Sementara itu, Firza dinamakan sebagai suspek bagi kes sama pada 16 Mei lalu.

Rizieq adalah pemimpin utama yang menggerakkan kumpulan Islam menentang bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama kerana menghina al-Quran.

Basuki atau dikenali sebagai Ahok kini dipenjarakan selepas didapati bersalah atas tuduhan menghina Islam.

Sementara itu, peguam Rizieq, Sugito Atmo Pawiro menyelar pihak polis kerana tidak memburu pihak yang menyebarkan mesej yang didakwa antara kedua-dua suspek.

“Kami sudah pasti akan menentang kes ini kerana ia tidak benar,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here