Rizieq Shihab dinamakan suspek kes pornografi

0
50


JAKARTA: Seorang pemimpin Islam Indonesia yang membantu menganjurkan bantahan jalanan besar-besaran ke atas gabenor Kristian ibu kota ini dinamakan sebagai suspek dalam kes pornografi.

Polis berkata semalam, Rizieq Shihab, pemimpin kumpulan radikal Barisan Pertahanan Islam (FPI) dinamakan sebagai suspek kelmarin kerana didakwa bertukar mesej pornografi dengan seorang wanita.

Rizieq, yang juga disiasat polis berhubung kes fitnah berasingan, ketika ini sedang menunaikan umrah di Arab Saudi dan gagal kembali walaupun berulang kali dipanggil untuk soal siasat.

Penganalisis berkata, ia adalah bukti terbaru kerajaan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo berusaha mengekang radikal di negara majoriti Islam ketika kebimbangan meningkat pengaruh mereka semakin besar.

Rizieq adalah individu utama menganjurkan siri bantahan besar-besaran tahun lalu ke atas Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama, sekutu Jokowi berhubung dakwaan beliau menghina al-Quran ketika berkempen dipilih semula.

Jurucakap polis ibu kota ini, Argo Yuwono mengesahkan Rizieq dinamakan sebagai suspek kerana melanggar undang-undang anti-pornografi dengan bertukar mesej grafik dan gambar bogel dengan wanita terbabit.

Pemimpin FPI itu pernah dipenjarakan dua kali sebelum ini, mungkin berdepan hukuman penjara lima tahun jika disabitkan.

“Kami akan mengeluarkan waran tangkap dan memeriksa kediamannya serta bekerjasama dengan pihak imigresen untuk mengetahui lokasinya,” kata Argo.

Peguam Rizieq, Sugito Amto Prawiro menafikan ulama itu melanggar undang-undang anti-pornografi dan berkata, anak guamnya menjadi mangsa akta kejam itu.

Wanita yang menerima mesej terbabit juga dinamakan sebagai suspek dalam kes sama. -AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here