Robot Yape bakal ubah kaedah penghantaran bungkusan

0
71
Advertisement

CREMONA: Sebuah robot baharu bakal memasuki dunia penghantaran bungkusan.

Yape, sebuah robot yang dibuat di Itali, ialah sebuah kenderaan pandu sendiri yang boleh menghantar bungkusan kecil dan barangan di mana-mana lokasi dalam bandar.

Yape bermaksud ‘Your Autonomous Pony Express’ beroperasi menggunakan aplikasi telefon pintar.

Pengguna hanya perlu memasukkan maklumat penghantaran dan alamat sebelum menunggu Yape datang untuk mengambil bungkusan.

Robot ini beroperasi menggunakan elektrik dan lebih jimat tenaga berbanding kereta atau motosikal.

Jurutera Simone Fiorenti adalah pereka bersama dan ketua teknikal bagi Yape yang berpangkalan di Milan.

Menurut beliau, robot itu direka memandangkan peningkatan pembelian dalam talian dan juga khidmat penghantaran makanan.

“Terdapat beberapa kebaikan menggunakan Yape, antaranya ialah kebolehan menghantar bungkusan di dalam bandar dengan tepat.

“Yape dapat sampai di destinasi dalam masa beberapa minit, mampu untuk beroperasi selama 24 jam sehari dalam apa keadaan cuaca sekalipun. Ini kerana ia dipandu sendiri di kaki lima dan laluan berbasikal untuk mengelakkan kemalangan,” jelas Fiorenti.

Sebaik sahaja robot itu tiba di alamat penghantaran, ia akan mengesan pengguna melalui algoritma pengesan muka.

Selepas proses tersebut berjaya, barulah pengguna dapat membuka penutup untuk memasukkan bungkusan yang ingin dihantar.

Tambah Fiorenti, matlamat pasukannya sekarang adalah untuk mengurangkan kos pembuatan Yape kepada antara 5,000 hingga 10,000 euro.

Walaupun beliau tidak dapat mendedahkan kos sebenar pembuatan robot tersebut, Fiorenti berkata ia kini berharga di antara 50,000 hingga 60,000 euro ekoran penggunaan sistem pengesan dan komponen yang mahal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here