Rodok enam kali

0
14



Kota Kinabalu: Seorang lelaki parah ditikam enam kali dengan pisau selepas cuba menegur tindakan seorang lelaki menampar rakannya yang lain di atas bot nelayan di Kampung Lok Poring, dekat sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 6 petang, mangsa yang juga warga asing berusia 30 tahun bersama suspek dan dua lagi rakan mereka sedang meneguk minuman keras di atas bot nelayan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan mendapati, suspek yang mabuk tiba-tiba bertindak agresif lalu menampar dua rakannya.

“Berikutan itu, mangsa menegur tindakan suspek menyebabkan suspek berang lalu mengambil pisau dan terus menyerang mangsa.

“Ketika itu, seorang saksi melihat suspek menyerang mangsa cuba menenangkan keadaan. Dia menahan tangan suspek yang memegang pisau namun suspek terus bertindak agresif menyerang mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan, mangsa yang mengalami pendarahan di dada akibat ditikam dikejarkan ke Hospital Tuaran sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1).

Chandra berkata, susulan kejadian itu, pihaknya menahan suspek di stesen minyak Jalan Tuaran lama, keesokan harinya.

Beliau berkata, motif kejadian dipercayai akibat perselisihan faham ketika suspek dan mangsa mabuk.

“Mangsa kini menerima rawatan di zon kritikal HQE1. Polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan,” katanya.

SHARE
Previous articlePencuri 'ekspres'
Next article'Isteri saya hilang'

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here