Roma bangkit benam Barca

0
88
Advertisement



ARLINGTON, Amerika Syarikat: AS Roma bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Barcelona 4-2 dalam aksi pramusim Piala Juara Antarabangsa di Stadium AT&T, di sini sebentar tadi.

Gol lewat daripada Alessandro Florenzi, Bryan Cristante dan Diego Perotti membantu kelab Itali itu mencipta kebangkitan selepas ketinggalan 1-2 dan memanfaat sepenuhnya kelebihan berikutan pertukaran besar-besaran yang dibuat Barca pada perlawanan itu.

Jurulatih Barca, Ernesto Valverde sudah melakukan 10 pertukaran ketika Florenzi menyamakan kedudukan 2-2 dan dengan pengendali itu sudah menunjukkan riak gembira atas apa yang dilakukan skuad keduanya itu terutama daripada pemain baharu mereka, Malcom.

Minggu lalu, Roma beranggapan mereka sudah membeli pemain kelahiran Brazil itu dari Bordeaux tetapi mereka dikecewakan oleh Barca 11 jam kemudian.

Kelab gergasi Sepanyol itu berjaya mendapatkan khidmat penyerang berusia 21 tahun itu selepas mengeluarkan belanja besar 41 juta euro (RM194 juta).

Tanpa kelibat beberapa bintang utama termasuk Lionel Messi yang menikmati rehat tambahan selepas mengharungi kempen Piala Dunia di Russia, Malcom disenarai buat kali pertama dalam kesebelasan utama Barca.

Apabila Stephan El Shaarawy menyamakan kedudukan buat Roma 1-1 selepas gol pembukaan Rafinha, Malcom menunjukkan ketajamannya dengan kembali meletakkan Barca di depan selepas memperoleh hantaran baik Ballou Tabla.

Dia memperoleh peluang terbaik pada minit ke-49 tetapi gagal menembusi gawang Roma sebelum Valverde melakukan pertukaran besar-besaran selepas sejam perlawanan.

Gol penyamaan Roma yang disumbat Florenzi dijaringkan pada minit ke-78 sebelum Cristante meletakkan kelab itu di depan lima minit kemudian.

Perotti kemudian menambah gol keempat ketika perlawanan berbaki lima minit menerusi sepakan penalti susulan kesalahan yang dilakukan Jorge Cuenca.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here