Rosyam buka pasar raya borong

0
45


DATUK Rosyam Nor. – Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Selepas membangunkan Suhan Movie & Trading Sdn Bhd menjadi antara produksi yang aktif menghasilkan kandungan kreatif, pelakon dan penerbit, Datuk Rosyam Nor mengorak langkah baharu dengan menceburi bidang peruncitan serta pemborongan.

Kata Rosyam, ST Rosyam Mart yang bakal beroperasi di Setiawangsa bulan depan adalah cubaan pertamanya membuka pusat borong, bekerjasama dengan syarikat Sri Ternak.

“Asalnya, saya membekalkan nangka dan durian belanda yang diusahakan di Lanchang, Pahang ke pusat borong terbabit. Selepas dua tahun berurusan, timbul idea untuk kami menjalin kerjasama dalam perniagaan ini.

“Pengalaman selama 38 tahun Sri Ternak dalam bidang peruncitan, manakala saya sudah 35 tahun bergiat dalam industri seni membuatkan kami yakin untuk bergerak lebih jauh dalam usaha sama ini.

“Sebagai artis dan selebriti, saya akan memberikan lebih tumpuan dalam aspek penjenamaan serta promosi,” katanya.

Kata Rosyam, apabila beroperasi kelak, lebih 10,000 barangan kering dan basah akan dijual di pusat pemborong terbabit.

“Kami mahu mewujudkan pusat pemborong moden untuk keselesaan pelanggan. Pembeli juga tidak perlu lagi membawa wang tunai setiap kali mahu mendapatkan keperluan asas.

“Proses pembayaran boleh dilakukan menggunakan kad debit supaya lebih mudah dan cepat. Selain itu, kami juga merancang untuk beroperasi secara atas talian dan menyediakan perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan.

“Namun barangan yang ditawarkan masih pada harga borong dan lebih rendah berbanding harga pasaran,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama mini bersiri Chor & Chah.

Drama mini bersiri yang diterbitkan Suhan Movie & Trading dengan kerjasama SME Corp Malaysia itu akan mula ditayangkan 1 Ogos ini di laman perkongsian video, YouTube.

Ia menampilkan pelakon popular seperti Ummi Nazeera, Saharul Ridzuan, Ruhainies dan Hafreez Adam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here