RTS bakal wujud peluang pekerjaan pendapatan tinggi

0
112
Advertisement

PASIR GUDANG: Sistem Transit Rapid (RTS) yang menjadi penghubung terbaharu antara Johor Bahru dan Singapura dijangka membantu merancakkan ekonomi merentas sempadan kedua-dua negara.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin percaya, dengan wujudnya RTS, ia akan meningkatkan lagi pergerakan yang menyumbang kepada kegiatan ekonomi.

Jelasnya, fenomena ekonomi merentas sempadan turut memberi peluang kepada rakyat negara ini untuk memilih pekerjaan dengan kadar bayaran yang lebih tinggi.

“Rakyat Malaysia di Johor ataupun negeri lain boleh pilih untuk bekerja di Singapura peluang cross border economy ini tidak boleh didapati di tempat lain. Cross border economy melahirkan peluang pekerjaan potensi. Ia bukan sesuatu yang kita patut malu, ia tidak bermakna kita tidak reti urus ekonomi, no. This is cross border economy.”

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian dua hala bagi projek RTS.

Jelasnya lagi, ekonomi merentas sempadan berlaku di semua negara, termasuk di Mexico-Amerika Syarikat yang menjadi antara sempadan paling sesak. Sempadan Johor Bahru-Singapura juga boleh dikategorikan sebagai antara sempadan yang tersesak, tambahnya.

Kerajaan Negeri yang amat mengalu-alukan projek tersebut, berharap ia dapat disiapkan sebelum tahun 2024.

Mohamed Khaled turut memberitahu, apabila ia siap kelak, kerajaan negeri sedia untuk menjadi contoh, memberi pandangan dan panduan kepada negeri lain seperti Kedah, untuk menggalakkan ekonomi merentas sempadan melibatkan negara jiran.

RTS yang diperkenalkan pada tahun 2010 akan beroperasi dari Bukit Chagar Johor ke Stesen Woodlands di Singapura.

Apabila siap, RTS link mampu menampung sehingga 10 ribu penumpang sejam bagi setiap arah.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled juga mahu Johor untuk terus bersedia menjadi negeri termaju dengan menjadikan Singapura sebagai penanda aras.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here