Rumah agam John Terry dirompak selepas muat naik foto percutian di Instagram

0
33

TINDAKAN bekas pemain bola sepak kelab Chelsea, John Terry, memuat naik gambar percutiannya bersama keluarga mengundang padah apabila rumah agamnya di Oxshott, Surrey, dimasuki pencuri.

Akibatnya, Terry mengalami kerugian kira-kira £400,000 (RM2.2 juta).

Insiden dipercayai berlaku pada Februari apabila Terry berkongsi gambar dia dan isterinya Toni yang sedang menikmati percutian di French Alps kepada 3.4 juta pengikut Instagram bintang bola sepak itu, lapor Daily Mail.

Antara barang yang dilarikan termasuk sebuah trofi, koleksi novel Harry Potter edisi pertama bernilai £18,000, wang tunai £30,000 dan batu permata bernilai £219,000.

Barang kemas, jam tangan, dan koleksi beg tangan Toni bernilai £126,000 turut lesap.

Dalam kejadian itu juga, rumah bekas pemain Chelsea itu digeledah sehingga menyebabkan kerosakan berjumlah £19,000.

Pasangan itu tidak menyedari perkongsian mereka itu secara tidak langsung telah mendedahkan bahawa kediaman mereka tidak berpenghuni.

Pendakwa Rossano Scamardella berkata, Terry melakukan kesilapan memuat naik gambar dirinya dan isteri di media sosial.

Pencuri mengambil peluang itu untuk memecah masuk kediaman mewahnya dengan bersenjatakan kapak, dan menghabiskan masa selama 45 minit menggeledah bilik tidur utama keluarga itu.

Mereka kemudian kembali pada lewat malam bersama seorang lagi rakan untuk memecahkan sebuah peti besi.

Insiden yang berlaku pada 25 Februari tahun ini disebut buat kali pertama di mahkamah di Kingston pada Khamis.

Darren Eastaugh, 30, Joshua Sumer, 27, Roy Head, 28, dan Oliver Hart, 25, mengaku bersalah terhadap satu siri kejadian pecah rumah di antara 1 Februari dan 27 Mac tahun ini yang melibatkan tujuh kes samun di seluruh Surrey dan Sussex.

Suspek kelima, Kye Hardy-King, 25, mengaku bersalah atas satu pertuduhan mengendalikan barangan curi apabila beberapa harta bernilai ditemui di rumahnya.

Hakim Susan Tapping menjatuhkan hukuman penjara antara lima dan lapan tahun seorang, menyifatkan rompakan itu “dirancang rapi” oleh kumpulan pencuri yang “berpengalaman, jika tidak profesional.” 

Semua harta benda Terry yang hilang tidak berjaya ditemui.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here