Russia kalah bermaruah

0
40
Advertisement



RUSSIA tidak menjangka perjuangan mereka di Piala Dunia akan berakhir dengan penentuan sepakan penalti selepas persembahan membanggakan pada suku akhir menentang Croatia, hari ini.

Malah, semangat melawan yang dipamerkan pasukan tuan rumah itu meninggalkan pentas Piala Dunia kali ini dengan pujian daripada peminat mereka sama ada di dalam dan luar negara.

Russia memasuki kejohanan sebagai pasukan bawahan tetapi berjaya mara hingga ke suku akhir, mengalahkan juara dunia 2010 Sepanyol pada pusingan 16 terakhir.

Seluruh peminat mereka mungkin tidak akan menjangkakan persembahan seperti itu daripada barisan pemain yang dianggap sebagai wira negara.

Jurulatih Russia, Stanislav Cherchesov mengakui pasukannya tetap kecewa dengan keputusan yang diperoleh.

“Saya percaya bahawa perkara paling utama adalah bagaimana cara kami tinggalkan kejohanan ini – lebih baik untuk meninggalkannya apabila anda berasa bangga,” kata Cherchesov kepada pemberita.

“Kami tidak mempunyai apa-apa peluang untuk memenangi piala ini dan sudah tentu kami sedih. Tetapi kami menunjukkan nilai pasukan kami.”

Sepakan penalti Fyodor Smolov diselamatkan Danijel Subasic dan walaupun penjaga gawang Russia, Igor Akinfeev menyelamatkan tendangan Mateo Kovacic, nasib mereka ditentukan dengan kegagalan Mario Fernandes menyudahkan sepakan ketiga.

Cherchesov berkata, pasukannya yang menduduki tangga ke-70 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum Piala Dunia, sepatutnya berada pada tahap lebih tinggi.

“Sejak saat pertama saya membentuk pasukan ini, saya tahu di mana tempat yang kami akan tuju,” katanya.

“Saya percaya kami sudah berjaya, tetapi sudah tiba masanya untuk membuka langkah ke hadapan.”

Cherchesov turut menjelaskan Presiden Russia, Vladimir Putin menghubunginya sebelum dan selepas perlawanan.

“Vladimir Putin bercakap dengan saya hari ini dan beliau menghubungi saya dengan mengucapkan tahniah,” kata Cherchesov.

“Kami memaklumkan kepada beliau yang kami kecewa. Beliau berkata kami perlu terus membuka mata dan bergerak ke langkah yang seterusnya.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here