RUU bolehkan pinjam duit dari bank China lulus

0
58



Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini meluluskan Rang Undang-undang Pinjaman Negeri Pulau Pinang (Bank dan Sumber-sumber Kewangan Lain) 2017 yang membolehkan kerajaan DAP Pulau Pinang membuat pinjaman daripada sebuah bank di China.

Ketua Menteri Lim Guan Eng ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata enakmen itu diperkenalkan bagi mewujudkan suatu perundangan baharu mengenai pinjaman kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Saya percaya rang undang-undang tersebut yang disediakan atas inisiatif dan pimpinan kerajaan negeri adalah menjurus untuk memberi limpahan pelaburan dan merancakkan pertumbuhan sosio-ekonomi, melaksanakan pembangunan fizikal demi kesejahteraan serta kemakmuran rakyat Pulau Pinang,” katanya pada persidangan DUN di Pulau Pinang.

Beliau berkata kerajaan negeri telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan China Exim Bank pada 16 Dis 2014, yang membolehkan kerajaan negeri membuat pinjaman daripada bank tersebut pada bila-bila masa untuk tujuan seperti yang telah dipersetujui.

Katanya rang undang-undang itu diharuskan atas keperluan undang-undang seperti mana yang disyorkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam suratnya bertarikh 31 Mei 2016.

“Perdana menteri menyatakan sekiranya kerajaan negeri ingin mendapatkan pinjaman daripada China Exim Bank, beberapa syarat yang ditetapkan dalam Perkara 111(2) Perlembagaan Persekutuan perlu diperhalusi,” katanya.

Lim berkata jumlah wang yang dipinjamkan di bawah rang undang-undang itu disediakan untuk tujuan membiayai pelaburan, pelaksanaan pembangunan fizikal, ekonomi dan sosial bagi negeri ini serta perkara-perkara yang berkaitan termasuk melaksanakan strategi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang 2013-2030 (PTMP).

Terdahulu, ketika membahaskan rang undang-undang itu, Dr Norlela Ariffin (PKR-Penanti) berkata beliau khuatir pinjaman yang akan dibuat kerajaan negeri kelak akan menyumbang kepada risiko hutang negeri yang tinggi.

Beliau berkata difahamkan pinjaman itu turut membiayai pelaksanaan beberapa projek pembangunan negeri termasuk PTMP yang melibatkan kos tinggi.

“Rang undang-undang yang dibentangkan hari ini jelas menunjukkan kerajaan negeri meletakkan Pulau Pinang dalam risiko hutang yang besar,” katanya.

Sementara itu, Cheah Kah Peng (PKR-Kebun Bunga) pula mempersoal mengenai jumlah wang dan tujuan kerajaan negeri membuat pinjaman itu.

“Saya sebagai pemegang amanah ingin tahu kenapa rang undang-undang ini perlu diluluskan. Berapakah jumlah wang yang diperlukan (pinjaman) dan tujuan untuk kita buat pinjaman ini. Adakah RM1 juta atau RM100 juta atau RM10 bilion. Jumlah ini jika satu jumlah yang besar akan bebankan kita,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu mengambil contoh pengalaman negara luar seperti Greece, Indonesia dan Filipina yang berdepan dengan bebanan hutang sehingga terpaksa menggadai tanah.

Mengenai jumlah pinjaman yang akan dibuat, Lim berkata tempoh pinjaman yang dibenarkan adalah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu hendaklah tidak melebihi lima tahun.

Beliau berkata berapa jumlah pinjaman itu tidak penting, sebaliknya adalah pengiktirafan daripada sebuah institusi kewangan milik kerajaan China terhadap kerajaan negeri berdasarkan kepada prestasi kewangan yang baik.

“Jumlah yang kita boleh pinjam terhad. Mereka (China Exim Bank) pun ada syarat-syarat bukan mudah. Saya nak tegaskan bahawa Pulau Pinang jumlah hutang yang paling rendah berbanding negeri-negeri lain.

“Saya harap apa yang kita lakukan ini bukan hanya satu pengiktirafan dari China malah satu amalan ketelusan. Kami sedia untuk berikan pencerahan tentang instrumen kewangan kepada mana-mana ADUN yang ingin tahu,” katanya.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here