'Sabar, Chong Wei masih dirawat'

0
174
Advertisement



DATUK Lee Chong Wei ketika ini sedang menjalani rawatan dan akan mengambil tempoh beberapa minggu sebelum sebarang kenyataan rasmi dibuat, kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Bercakap kepada media pada majlis penajaan di ibu pejabat AirAsia di Sepang, hari ini, Norza menjelaskan badan induk berkenaan sentiasa berhubung dengan pemain berusia 36 tahun itu dan kenyataan rasmi akan dibuat dalam tempoh beberapa minggu lagi.

“Buat masa sekarang, Chong Wei masih menjalani rawatan, beri dia ruang dan masa. 

“Mungkin dalam tempoh beberapa minggu lagi, kami boleh membuat kenyataan rasmi berhubung perkara ini,” kata Norza.

Sebelum ini, Meja Sukan NSTP melaporkan Chong Wei yang juga pemain nombor dua dunia dikatakan mengalami masalah kesihatan yang serius dan kemungkinan besar terpaksa menamatkan kerjayanya sebagai pemain bagi menjalani rawatan pemulihan.

Masalah kesihatan dialami Chong Wei mula menjadi tumpuan selepas BAM mengesahkan pemain berkenaan menarik diri daripada beraksi pada Kejohanan Dunia di Nanjing, China yang berakhir, semalam dan Sukan Asia Jakarta-Palembang dari 18 hingga 2 September ini.

Menerusi kenyataan dikeluarkan BAM, Chong Wei disahkan mengalami masalah pernafasan dan dia perlu berehat sebulan bagi menjalani rawatan dan tidak boleh terbabit dengan sebarang aktiviti fizikal.

Sejak itu, ramai bintang dunia termasuk juara dunia lima kali, Lin Dan dari China dan pemain Denmark, Viktor Axelsen mendoakan agar Chong Wei segera pulih dan kembali beraksi.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here