Sabar dua tahun

0
11



Pasir Mas: Bermula dengan minat mendalam dalam bidang pertanian mendorong seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedondong, di sini, menanam pokok anggur di halaman rumahnya di Kampung Bunut Susu, di sini, empat tahun lalu.

Berkat kesabaran menunggu hampir dua tahun, Wan Mohd Radzi Wan Salleh, 50, kini mampu tersenyum apabila pokok anggur ditanam mula membuahkan hasil.

Wan Mohd Radzi Wan Salleh, 50, berkata, dia mula menanam pokok anggur sejak empat tahun lalu daripada benih dimport dari Filipina.

Katanya, sebelum itu, dia menjalankan pelbagai usaha mengumpul maklumat secukupnya mengenai penjagaan tanaman itu.

“Orang cakap jika kita berbakti pada tanah pasti ada hasilnya dan alhamdulillah, pokok anggur mula mengeluarkan hasil dua tahun lalu.

“Apabila melihat pokok ini berbuah, saya dapat rasakan satu kepuasan kerana hanya sekali berbuah ia mencecah 370 tangkai.

“Ramai juga orang luar datang ke rumah untuk merasai sendiri perasaan memetik anggur dan saya tidak menghalang, jauh sekali mengenakan bayaran kepada orang ramai yang datang untuk merasai sendiri kemanisan buah ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bunut Susu, semalam.

Menurutnya, ketika awal penanaman, pokok anggur perlu dijaga rapi termasuk memastikan nisbah air serta baja yang betul supaya ia dapat hidup subur.

“Pokok anggur sebenarnya tanaman cukup lasak kerana dengan keadaan cuaca yang tidak menentu di negara ini, pokok ini dapat tumbuh dengan subur dan berbuah.

“Dengan teknik yang betul dan sedikit pengetahuan, pokok anggur di rumah saya mampu mengeluarkan hasil empat kali setahun,” katanya.

Mohd Radzi berkata, selain menanam pokok jenis IAC dari Filipina, dia juga memiliki pokok anggur yang diimport dari Itali dan Uzbekistan namun masih belum berbuah kerana baru ditanam sejak beberapa bulan lalu.

Selain anggur, Mohd Radzi turut menanam beberapa jenis pokok limau sunkist antaranya dari Taiwan, Jepun, pokok matoa (sejenis buah yang mempunyai tiga rasa) dan beberapa lagi buah yang jarang didapati di negara ini.

SHARE
Previous articleKamal ganti Amrin
Next articleHormati mahkamah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here