Sabun temukan cinta Syed Ali

0
12


Syed Ali

SHAH ALAM: Pelakon, Syed Ali, mengakui beliau kini dalam fasa bahagia apabila mengenali seorang wanita yang memenuhi ciri-ciri sebagai suri hatinya.

Beliau berkata, wanita dikenali sebagai Wani, 25, itu berjaya membuka hatinya selepas mereka saling mengenali menerusi perniagaan sabun pencuci pakaian yang diusahakan olehnya, sejak enam bulan lalu.

“Sebenarnya dia adalah ejen penjual sabun saya, jadi kami mula mengenali pada saat itu. Jujurnya saya selesa dengan Wani dan kami mempunyai persefahaman yang baik.

“Saya harap semua pihak mendoakan kami dan diharapkan saya akan dapat melangkah ke fasa seterusnya dalam perhubungan ini. Lagipun, usia saya juga semakin meningkat,” kata pelakon berusia 30 tahun ini.

Pemilik nama sebenar Syed Ali Syed Mokhtar ini berkata, beliau juga mengenali keluarga Wani dan hubungan mereka mendapat restu kedua-dua belah pihak.

Terbaru, beliau bakal muncul dengan filem, Kerja Kahwin, di pawagam seluruh Malaysia mulai 20 Julai ini.

Syed Ali turut memberitahu, beliau cukup berbangga kerana berpeluang menjayakan karya terbabit, yang dianggapnya kaya dengan adat budaya Melayu.

Katanya, filem berkenaan juga dekat di hatinya kerana ia mengimbau pengalaman kenduri kahwin kakak dan abangnya.

“Saya seronok menjayakan filem ini kerana meskipun dilahirkan pada era yang boleh dikatakan moden, saya terbiasa dengan apa yang diangkat dalam naskhah berkenaan, selain memberikan saya peluang memahami budaya Melayu dengan lebih mendalam,” katanya.

Syed Ali berkata, beliau turut menumpang bangga apabila filem berkenaan sudah menemui penonton di luar negara menerusi Festival Filem Asia di Capri, Itali dan Festival Satu Negara Satu filem di Perancis, tahun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here