Saddiq mahu FAM tegas

0
316
Advertisement



MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memastikan setiap pasukan bola sepak negeri dan kelab melepaskan pemain yang dipanggil mewakili negara untuk tugasan di temasya Sukan Asia 2018 yang akan membuka tirainya bulan depan.

Syed Saddiq berkata, FAM sebagai badan induk bola sepak negara perlu mengambil pendirian yang amat tegas berhubung perkara tersebut memandangkan isu berkaitan pelepasan pemain sering menjadi igauan ngeri ketua jurulatih kebangsaan dalam mempersiapkan pasukan bagi menghadapi sebarang kejohanan.

“Saya difahamkan isu ini adalah isu lama yang sentiasa berulang setiap kali FAM dipilih bagi menghadapi kejohanan utama, bukan sahaja bagi kejohanan bola sepak malahan kejohanan bertemasya seperti Sukan SEA dan Sukan Asia.

“Saya berpandangan bahawa sekiranya FAM memilih untuk menyertai sebarang kejohanan utama, FAM perlu mengambil pendirian tegas terhadap perkara seumpama ini. 

“Apatah lagi, persatuan bola sepak negeri adalah anggota gabungan FAM sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebarang keputusan FAM di peringkat pusat adalah juga keputusan di peringkat negeri sebagai anggota gabungan dan sewajarnya dihormati. 

Sekiranya persefahaman ini tidak berlaku, lebih baik FAM awal-awal lagi jangan menawarkan diri menyertai kejohanan-kejohanan tersebut.

“Justeru, FAM perlu menyelesaikan isu dalaman mereka sendiri dan jangan membabitkan kepentingan negara dalam kemelut ini dan sekiranya FAM tidak mampu menyelesaikan perkara ini, saya tidak akan teragak-agak untuk  memanggil perjumpaan dengan semua pihak untuk mencari penyelesaian terbaik,” katanya.

Dalam kenyataannya, Syed Saddiq juga mengingatkan persatuan-persatuan negeri bahawa KBS dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah membuat pelaburan besar dalam membentuk para pemain ini.

“Pada saya, setiap pemain negeri atau kelab yang terpilih menyertai skuad kebangsaan wajar melihatnya sebagai satu penghormatan kerana selain daripada terpilih untuk membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa, ia juga secara tidak langsung meningkatkan nilai pemain itu sendiri,” katanya.

Semalam, ketua jurulatih skuad Bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee memberi bayangan skuad kebangsaan bakal menarik diri daripada menyertai Sukan Asia 2018 berikutan kesukaran mengumpul pemain.

Menurut Kim Swee, beberapa pasukan tetap berkeras enggan melepaskan pemain mereka meskipun senarai 24 pemain telah dikeluarkan pada Rabu lalu atas alasan tarikh penganjuran Sukan Asia 2018 (14 Ogos hingga 1 September) bertembung dengan jadual Piala Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here